‘Janganlah bergaduh, ramai tahu saya dulu macam mana’

ENGGAN pengikut media sosial bertelagah mengenai kisah lalu, bekas isteri kepada pengarah sensasi Syamsul Yusof, Ira Kazar berharap semua pihak berhenti bergaduh sesama sendiri.

Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin berkata, dia mengakui masih jahil sekali gus tiada keperluan untuk orang lain mengungkit cerita lampau mahupun memperdebatkan hal peribadinya.

“Janganlah gaduh. Kenapa suka sangat bergaduh. Ramai yang tahu saya dulu macam mana.

Tak perlu nak beritahu mereka (pengikut) sebab dulu saya memang jahil. Sekarang pun saya akui jahil lagi.

“Sudah-sudahlah (bergaduh) kerana anda mengganggu ketenteraman orang lain, bukan saya,” katanya dalam siaran itu menerusi platform TikTok.

Begitupun, menurut Ira dirinya kini lebih terbuka berdepan kecaman terutama berkenaan hal perkahwinan yang kecundang.

Bagi anak pelakon senior Kazar Saisi itu, segala kata nista yang terus dilemparkan kepadanya hingga ke hari ini tidak menjadi kudis, sebaliknya dianggap sebagai hiburan.

Saya tak rasa terganggu pun dengan kutukan. Jangan risau, saya sangat terhibur sebab anda semua masih ambil tahu fasal saya sedangkan saya tak kisah mengenai hal lalu,” ujarnya.

Pada sesi siaran langsung itu difahamkan ada dalam kalangan pengikut yang masih mengungkit perihal rumah tangganya dengan Syamsul.

Tindakan individu terbabit meninggalkan komen mendakwa Ira sebagai perosak masjid dibina Syamsul dan bekas isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana mengundang kemarahan pengikut lain.

Pertelagahan yang tercetus ketika sesi siaran langsung itu mengakibatkan Ira terpaksa bersuara bagi mengelakkan situasi semakin panas.

Ikatan antara Ira dan Syamsul terlerai pada 5 September tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik Syamsul terhadap Ira ketika mereka masih bergelar suami isteri.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand.

Sebelum itu, pengarah terbabit menceraikan Puteri Sarah yang juga ibu kepada dua anaknya pada 14 Jun 2023. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok