‘Jangan ajar aku, kamu tahu rasanya dibunuh tapi tidak mati?

MASIH berjuang mengumpul kekuatan, pelakon Abby Abadi mengakui pernah berada dalam fasa kecewa paling dahsyat akibat dianiayai seseorang.

Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan, 47, seolah-olah mengingatkan mereka yang tidak berada dalam situasi sama jangan mudah menghukum atas pendedahan dilakukan selepas sekian lama menahan sabar.

Jangan ajar aku tentang sabar, aku pernah dikecewakan setengah nyawa.

“Dianiaya seperti tiada hati, kamu tahu rasanya dibunuh tapi tidak mati?,” katanya dalam hantaran di TikTok.

Ibu kepada enam anak itu turut berharap orang ramai mendoakan agar dirinya terus kuat menempuh dugaan yang mendatang.

Tak berharap apa-apa, cuma doakan saya terus kuat dan jadi terhebat berjuang untuk kehidupan di dunia dan akhirat,” katanya di ruangan kapsyen.

Menyertakan foto solo dirinya rona hitam putih, perkongsian pelakon drama Gerak Khas itu meraih perhatian pengikutnya.

Rata-rata menzahirkan perasaan kasihan terhadap Abby yang dikecam segelintir individu selepas menzahirkan luahan berkenaan isu nafkah anak sebaik bergelar ibu tunggal suatu masa dahulu.

“Yang dianiaya hampir separuh nak gila, yang menganiaya bukan main bahagia. Macam tiada apa-apa berlaku,” ungkap netizen.

“Ada hikmah isu anak, buat orang tahu nasib Abby selama ini. Bukan mudah jadi ibu tunggal,” tulis peminat.

“Dianiaya bukan ahli keluarga pun dah sakit, ini kan pula famili sendiri,” kata pengikut lain.

Sebelum ini, isu keluarga Abby menjadi sorotan apabila segelintir individu meminta Abby memohon maaf kepada madu anaknya, Marissa Dania iaitu Umisya Mazlan.

Namun Abby menegaskan suami Marissa Aslam yang patut bertemunya memohon kemaafan selepas menikahi anaknya itu tanpa pengetahuan keluarga di Thailand pada akhir tahun 2023.

Saling berbalas kenyataan di laman sosial dengan Aslam, luahannya kemudian berkisar soal penjagaan anak selepas bercerai dengan pelakon Norman Hakim 17 tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok