LAFAZ cerai pelakon Edika Yusof terhadap isterinya, Nor Hidayah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur ditangguhkan ke tarikh baharu iaitu 5 Mei ini disebabkan wanita itu dalam keadaan tidak suci atau haid.
Edika, 58, berkata, permintaan isterinya terpaksa dipenuhi selepas Nor Hidayah tetap berkeras mahu berpisah selain enggan mendapatkan bantuan kaunseling serta pendamai.
“Saya sudah sampai ke tahap reda. Hari ini saya sedia lafazkan talak, tapi dia tak suci, prosiding lafaz cerai ditangguh bulan depan.
Dia sendiri pun tak mahu pergi kauseling, saya dah tak boleh buat apa-apa lagi. Bukan tak pujuk, whatsapp dan panggilan saya tak dibalas.
“Sebenarnya sebelum ini kami belum pernah pergi kauseling, kita tunggu sahaja 5 Mei kalau itu (cerai) yang dia minta,” katanya selepas prosiding kedua permohonan cerai isterinya di sini, hari ini.
Edika tidak diwakili peguam, manakala isterinya diwakili peguam syarie Mohd Yazid Hazim.
Mengenai dakwaan punca permohonan diajukan Nor Hidayah dalam perbicaraan tertutup itu, akui Edika tuduhan dilemparkan isterinya hanya teguran biasa namun dianggap sebagai penghinaan.
“Apa yang dikatakan pada saya sangat keterlaluan. Maksudnya, saya cakap lain tapi dia anggap lain. Mungkin saya ada silap sampai dia bersangka buruk. Sebagai suami dan ketua keluarga, saya kena bertegas dalam sesuatu perkara.
Dari situ dia pendam lama, saya pula tak perasan dan tak tahu. Rasanya sejak 2022 saya perasan perubahan sikapnya, cuma waktu itu tidak ketara.
“Ketika itu saya jumpa kaunselor untuk mendapatkan rawatan anxiety, pakar maklumkan isteri saya juga patut sama-sama ke kaunseling tapi dia tolak,” ujarnya.
Terdahulu, Nor Hidayah memfailkan perceraian pada pertengahan Februari lalu di mahkamah sama atas alasan tiada lagi persefahaman selepas 22 tahun hidup bersama.
Sebelum ini, pasangan terbabit menarik perhatian ramai apabila pelakon filem Maria Mariana itu didapati sanggup berkorban dan setia menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak mereka.
Hasil perkahwinan sejak 2003, Edika dan Nor Hidayah hidup bersama d tiga cahaya mata termasuk seorang anak daripada perkahwinan terdahulu wanita terbabit. – HIBGLAM