‘Ini peringatan, jangan tertipu dengan janji manis’

DUA tahun berehat daripada penghasilan single baharu, siapa kata Diana Danielle sudah cuci tangan sebagai penyanyi.

Buktinya, ibu tunggal dua anak itu kembali lincah menerusi Raja Dusta, sebuah lagu yang menggambarkan kekuatan semangat wanita.

Mengakui awalnya sedikit galau untuk kembali menyanyi, Diana atau Danielle Danny Beeson berharap Raja Dusta menjadi permulaan yang baik untuk kembali aktif dalam bidang muzik.

Tambahnya, lagu berkenaan mengisahkan keberanian dan sindiran nakal yang memberi ruang untuk wanita dan lelaki meraikan kebebasan selepas melepasi fasa toksik dalam perhubungan.

“Saya mahu pendengar menikmati lagu ini tanpa rasa benci. Lagu ini mengenai keberanian dan kebebasan untuk membuat keputusan terbaik buat diri sendiri. Kita semua pernah berada dalam hubungan yang berat sebelah.

Lagu ini mewakili apa yang ramai wanita alami dalam perhubungan seperti janji palsu, harapan yang dimanipulasi dan akhirnya keberanian untuk bebaskan diri.

“Jadi, lagu ini adalah peringatan supaya jangan tertipu dengan kata-kata manis jika perbuatan tidak seiring,” katanya.

Raja Dusta sebenarnya sebuah sindiran terhadap situasi yang pernah berlaku dalam kehidupannya, namun dia juga menegaskan bahawa lagu itu juga bersifat universal dan boleh dikaitkan dengan sesiapa sahaja walaupun dibawakan daripada perspektif seorang wanita.

Saya mahu menghasilkan sesuatu yang lebih rancak dan menyeronokkan, sebagai satu sindiran terhadap situasi saya sekarang. Walaupun saya boleh kaitkan lagu ini dengan pengalaman peribadi, tapi bukan ditujukan kepada sesiapa secara spesifik,” katanya.

Berkongsi pengalaman menarik sepanjang penghasilan lagu dan video muzik, Diana berkata ini kali pertama dia bekerjasama dengan penerbit John Jeeves.

Sokongan yang tidak berbelah bagi daripada pasukan termasuk, pengurusan Universal Music, pengarah muzik video, pelakon, kru produksi dan penari latar.

“Saya agak kekok pada mulanya sebab sudah dua tahun tidak muncul dengan lagu baharu.

Keyakinan saya sedikit goyah, tetapi semua orang sangat menyokong dan buat saya rasa selesa.Saya harap ini menjadi permulaan yang baik untuk kembali aktif dalam muzik.

“Saya ulang banyak kali perkataan ‘seronok’ sebab memang itulah yang saya rasa! Walaupun mencabar dan di luar zon selesa, saya perlu biasakan diri dengan rentak ini,” katanya.

Bintang Imaginur itu juga berharap Raja Dusta bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi peneman buat golongan yang sedang atau pernah melalui detik sukar dalam hubungan.

Saya mahu orang menyanyi lagu ini dengan kuat dalam kereta atau semasa mandi. Muzik satu bentuk perayaan dan saya harap sesiapa yang telah keluar daripada hubungan menyakitkan dapat meraikan kebebasan dan menghargai keberanian diri,” katanya.

Raja Dusta kini boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman digital sejak 18 April 2025 lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok