‘Ini mungkin konsert terakhir KRU di Singapura’

SELEPAS mengumumkan konsert tiga hari berturut-turut di Kuala Lumpur menerusi Konsert GenKRU, trio KRU akan tampil dengan konsert istimewa di Singapura di The Star Theatre pada 28 Jun depan.

Menurut ahlinya, Edry Abdul Halim, konsert di Kota Singa itu mungkin akan menjadi persembahan mega terakhir mereka bertiga selepas melancarkan album berjudul Kaset.

“Konsert di Singapura ini mungkin konsert terakhir kami untuk fasa Genkru ini selepas tiga konsert di Kuala Lumpur.

“Kami tak mahu terlalu sentimental tetapi ini boleh menjadi konsert terakhir kami, namun tak tahu masa depan bagaimana.

“Buat masa ini, kami nampak konsert ini sebagai ‘finale’ buat KRU selepas mengeluarkan album dan kaset. Selepas sembilan tahun tidak muncul di Singapura, kami teruja mahu merealisasikan konsert ini,” katanya dalam sidang media Genkru Live in Singapore secara virtual, baru-baru ini.

Sementara itu, Datuk Norman pula berkata, peminat akan menikmati muzik era 90-an selain mengabdikan momen terindah bersama KRU memandangkan tahun hadapan kumpulan itu tiada perancangan untuk mengadakan konsert.

“Sebenarnya niat asal buat konsert ini adalah kami mahu buat lagu dan kemudian album, namun jadi konsert pula.

Album kami berjudul Kaset akan keluar nanti, dan beberapa lagu dari album ini akan dipersembahkan di konsert GenKRU.

“Seterusnya kalau ada konsert kami dalam tiga atau lima tahun lagi, konsert tersebut akan berbeza konsep mengikut faktor usia. Jadi boleh lihat tenaga untuk persembahan kami berbeza dari era 90-an dan seterusnya.

“Jadi kalau nak lihat KRU pada era 90-an, boleh datang ke konsert ini dan mungkin kali terakhir anda boleh lihat KRU membuat persembahan dengan konsep ini.

“Tahun depan memang sah tiada konsert daripada kami tapi kalau ada nanti pastinya berbeza,” ujarnya.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang

yang teruja mahu berjumpa peminat Singapura memaklumkan kali terakhir tio adik-beradik itu melakukan persembahan di Kota Singa pada sembilan tahun lalu.

Dia turut memberitahu tiket menonton konsert di Singapura boleh dibeli pada Isnin (esok) bermula pukul 11 pagi di www.sistic.com.sg/events/genkru0625.

“Kali terakhir KRU membuat persembahan di Singapura adalah sembilan tahun lalu dan kita dapat tarikh pada 28 Jun yang mana KRU akan kembali di Singapura menerusi GenKRU Live In Singapore selepas tiga konsert di Kuala Lumpur pada awal Mei.

“Saya sebagai penganjur sangat teruja dan tak sabar berjumpa peminat di sana. Saya pun baru balik dari Singapura minggu lalu dan seronok melihat ramai yang bertanya dan memberikan reaksi positif.

“Tiket untuk lima kategori akan mula dijual 14 April depan dan kod pakaian untuk konsert itu nanti adalah era 90-an,” jelasnya.

Selain Singapura, kumpulan yang ditubuhkan pada 1992 itu bakal menghiburkan peminat Malaysia menerusi Konsert GenKRU di Axiata Arena pada 3, 4 dan 10 Mei ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok