Drama masih berlarutan, pelakon Abby Abadi meluahkan kekesalan apabila bersikap terlalu berlembut dan sentiasa mengalah dalam semua hal sehingga terpaksa berhadapan dengan masalah keluarga.
Tidak hanya itu, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, turut kecewa dengan sikap bekas suami iaitu Norman Hakim berhubung isu anak-anak mereka tetapi enggan membangkitkan perkara tersebut kerana khuatir dituduh membuka aib.
“Terlalu banyak kesilapan yang saya buat. Antaranya terlalu berlembut dan mengalah dalam semua hal, rileks serta tenang sangat.
“Rupanya untuk jangka masa panjang, keadaan jadi diluar jangkaan. Perkara saling berkait.
Sebagai bekas isteri kepada Norman Hakim, banyak perkara yang tak selesai dan mengecewakan saya. Berbelas tahun dah.
“Ingatkan bila berbaik, hal-hal anak-anak akan jadi lebih baik tetapi sebagai mama kepada anak-anak yang ada ini, saya menyesal tentang banyak perkara. Sebut nanti kata buka aib pula,” katanya dalam Threads.
Berkongsi lanjut, pelakon filem Gerak Khas The Movie itu turut memaklumkan punca utama suaminya, Faizal Zakaria menampar menantunya, Aslam.
Dedahnya, tindakan tersebut diambil memandangkan kejadian yang tidak diperincikan berlaku sewaktu anak perempuannya, Marissa di bawah umur dan dalam jagaannya.
Kenapa bapa tiri yang lempang Aslam? Sebab masa berlakunya kejadian itu Marissa bawah umur dan dia bawah jagaan saya dan suami.
“Bapanya tidak tahu pun fasal ini sebab saya tak sempat nak bercerita rasanya.
“Dua-dua memang salah tetapi kalau saya buat laporan polis waktu itu, Aslam yang akan ke dalam kan? Tetapi saya tak sampai hati,” jelasnya.
Sebelum ini, Abby meluahkan rasa hairan apabila ada pihak yang memintanya memohon maaf kepada madu Marissa iaitu Umisya Mazlan.
Suaminya juga mendedahkan pernah memberi amaran kepada Aslam agar tidak menganggu Marissa sebelum mereka berkahwin secara rahsia di Thailand.
Terdahulu, nama Marissa menjadi bualan ramai pada Januari tahun lalu selepas bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Pasangan terbabit dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan yang ketika itu sedang menunaikan umrah.
Pernikahan tersebut juga berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk ibu dan bapanya iaitu pelakon, Norman Hakim. – HIBGLAM