DUNIA seni Indonesia dikejutkan dengan pemergian penyanyi legenda Titiek Puspa yang disahkan meninggal dunia pukul 4.25 petang tadi.
Titiek atau nama sebenarnya Sudarwati, 88, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Medistra, Jakarta selepas menjalani pembedahan susulan mengalami pendarahan otak.
Khabar duka tersebut disahkan pengurusnya yang dikenali sebagai Mia.
“Ya, eyang (nama panggilan Titiek) baru sahaja meninggal” katanya ringkas.
Sebelum ini, pihak keluarga Allahyarham ada mendedahkan Titiek mengalami pendarahan pada bahagian otak kiri sebelum dimasukkan ke hospital.
Pada Mac lalu, Titiek dikejarkan ke hospital sama kerana mengalami komplikasi akibat pembuluh darahnya pecah dipercayai akibat angin ahmar.
Anaknya iaitu Petty Tunjungsari Murdago juga memaklumkan bahawa ibunya dalam keadaan baik dua hari sebelum pemergiannya.
Tambah Petty, ibunya sempat menyelesaikan tiga segmen program itu sebelum tiba-tiba rebah dan pihak produksi membawa penyanyi itu ke hospital.
Sementara itu, penyanyi terkenal Krisdayanti turut menzahirkan kesedihan dengan memuat naik kata-kata terakhirnya buat Allahyarham Titiek yang menjadi simbol seni muzik kebanggaan negara itu.
”Selamat jalan Ibu musik Indonesia Titiek Puspa sang Legenda istimewa.
“Tempat mu teramat mulia, akhir hayat mengabdi untuk seni dan budaya.
“Karyamu selamanya abadi untuk negeri yang sangat engkau cintai ini mami. Salam cinta dan doa penutup kata ditiap pesanmu padaku,” tulisnya.
Titek memulakan karier muzik sejak era Presiden Soekarno dan menghasilkan ratusan karya.
Wanita yang akrab disapa Eyang Titiek itu dikenali secara meluas sebagai ikon industri hiburan Indonesia. – HIBGLAM