Syamsul, Puteri Sarah rai Aidilfitri di Darul Haslam

UKHUWAH terjalin, hubungan pengarah Syamsul Yusof dengan bekas isteri, Puteri Sarah Liyana semakin erat apabila sama-sama meraikan 1 Syawal di rumah keluarga aktor itu, semalam.

Kunjungan aktres berkenaan di kediaman mentuanya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail membuktikan kedua-duanya dapat menjalinkan persahabatan selepas dua tahun bercerai.

Bahkan, pengarah filem The Original Gangster itu turut merakamkan detik Puteri Sarah bersalaman dengan ahli keluarganya dan dikongsikan dalam Instagram Story.

Dalam hantaran lain, Syamsul tidak ketinggalan berkongsi pelbagai momen gembira termasuk bersama dua permata hatinya, Syaikhul Islam, 8, dan Sumayyah, 6, tahun.

Riak kegembiraan terpancar pada wajah seluruh keluarga sutradara prolifik, Datuk Yusof Haslam itu terutama dengan kepulangan Syamsul.

Turut bersama merayakan Aidilfitri di Darul Haslam ialah adik kepada Syamsul, Syafiq Yusof bersama isteri dan anak-anaknya.

Sebelum ini Yusof pernah menzahirkan keterujaan apabila puteranya itu bakal berhari raya di kediaman mereka buat kali pertama selepas bertahun-tahun tidak berbuat demikian disebabkan krisis peribadi.

Terdahulu, Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 namun berpisah pada 14 Jun 2023. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok