SIRI drama popular, Hacks kembali buat musim ke empat dengan plot lebih panas membabitkan hubungan kompleks antara bintang komedi, Deborah Vance dengan penulis pembantunya, Ava Daniels.
Kali ini bukan hanya kemasukkan beberapa watak baharu, bahkan peminat tegar bakal disogokkan hal mengejutkan termasuk ugutan serta kolaborasi kembali terjalin.
Suka dan benci
Kisah mencuit hati antara suka dan benci duo terbabit iaitu lakonan Jean Smart sebagai Deborah dan Hannah Einbinder (Ava) tentu sahaja ditunggu-tunggu.
Ini kerana selepas Ava meninggalkan tugasnya, dia kini kembali membantu Deborah sebagai penulis kreatif untuk program malam kendalian wanita terbabit.
Deborah melihat peluang karier dengan mengendalikan rancangan Late Night Show sendiri sekali gus anjakan daripada kerjaya ‘stand-up’ komedi yang sudah berdekad diceburi.
“Itu merupakan sesuatu yang lama dinantikan tetapi pada masa sama dia memerlukan penulis kreatif untuk ‘menghidupkan’ pengisian program tersebut walaupun awalnya dia mempunyai pilihan lain.
“Suka atau tidak, dia perlu tolak ke tepi kemahuan, ego serta penuhi permintaan Ava kepadanya atau hal buruknya didedahkan,” katanya ketika sidang media Hacks musim keempat, baru-baru ini.
Bagi Hannah, edisi kali ini masih menyerlahkan dominasi Deborah yang selalu dilihat sebagai bintang komedi dan tetap menganggap era kegemilangannya belum berakhir.
Katanya, sikap Deborah masih seperti dahulu apatah lagi selepas dapat berdiri kembali seterusnya menggapai impian mempunyai program bual bicara tengah malam sendiri.
“Banyak kejutan dari segi hubungan dan komunikasi antara watak kami kerana secara peribadinya Ava juga mencuri peluang untuk meningkatkan kerjayanya.
Jadi Ava bijak mencari jalan untuk bekerja semula dengan Deborah sebagai ketua idea kreatif bagi program tersebut disebabkan dia juga mempunyai misi peribadi.
“Kiranya, hubungan antara duo yang selalu tidak sependapat itu kini berada pada tahap lain, adakalanya kasar tetapi hasil kerjasama mereka ketika bekerja menjadi,” ujarnya.
Bahasa cinta
Menurut pengarah merangkap penerbit eksekutif bersama siri ini, Paul W. Downs, hakikatnya ketengangan komunikasi antara kedua-dua karakter sebagai ‘bahasa kasih sayang’ mereka.
W Downs yang turut membawakan watak ejen Deborah, Jimmy mengakui sepakat dengan pencipta siri ini Jen Statsky dan Lucia Aniello untuk merealisasikan impian bintang komedi terbabit.
Katanya, banyak hal belakang tabir yang boleh dicungkil untuk diketengahkan sebagai ‘perencah’ membakar lagi ketegangan antara wanita itu dan Ava.
Banyak plot dan sub plot menanti khalayak kerana program tengah malam itu sebagai tanggungjawab besar buat Deborah dan dia perlukan pengisian sempurna untuk tarik penonton.
“Di sini pentingnya bantuan Ava selaku penulis kreatif tetapi jika hubungan dan komunikasi mereka tegang, tentu sukar untuk bekerjasama.
“Inilah juga punca akhirnya kami sepakat berikan apa yang Deborah ingini dan pastinya banyak momen melucukan pada setiap episod,” katanya.
Mengenai kemasukan karakter lain, katanya siri yang mengungguli Anugerah Emmy itu membariskan ramai bintang undangan termasuk pelakon dan pempengaruh media sosial.
Antaranya seperti Julianne Nicholson dan Michaela Watkins yang dikatakan melengkapkan lagi olahan penceritaan bagi musim terbaharu tersebut.
Hacks yang dirakamkan di studio Hollywood menemui penonton sejak 10 April lalu menerusi Astro Max.