Gemuruh, ‘moody’, otot makin lembik konsert dah dekat – Amy Search

BERULANG kali menakluk pentas sepanjang empat dekad dalam arena muzik, penyanyi rock legenda Datuk Amy Search mengakui masih berdepan perasaan gemuruh setiap kali menjayakan konsert.

Begitupun Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 66, berkata, situasi normal yang biasa dialami kebanyakan penghibur itu akan lenyap serta merta sebaik mendengar sorakan penonton.

“Memang saya punya ‘stage fright’ atau gemuruh sebelum naik pentas tidak pernah habis walaupun sudah banyak kali beraksi selepas lebih 40 tahun menyanyi.

Macam sekarang, saya sudah mula rasa debaran dengan otot-otot saya semakin lembik kerana hari konsert semakin hampir.

“Tapi saya tak anggap itu sebagai tekanan, ini situasi biasa yang saya sifatkan perjalanan untuk capai impian. Sebaik mendengar sorakan khalayak, gemuruh terus hilang,” katanya kepada HibGlam.

Amy yang ditemui pada sesi latihan Amy Search Magic First Solo Concert semalam turut mendedahkan kebiasaannya mood juga berubah menjelang tarikh persembahan mega.

Dalam seminggu atau 10 hari sebelum konsert, saya juga akan jadi ‘moody’, terlebih sensitif dan banyak berfikir. Perjalanan menuju konsert itu kadang-kadang ada masanya terlalu terhad.

“Namun ini semua perjalanan yang saya sifatkan sebagai nikmat dalam menuju misi berkongsi karya kepada khalayak.

“Rasa dan situasi sebegini pada akhirnya menjadi nikmat apabila mampu memuaskan hati penonton yang tidak putus menyuntik semangat,” ujarnya.

Teruja berkongsi perincian konsert solo di Axiata Arena Bukit Jalil pada 26 April ini, katanya, bekerja bersama 13 pemuzik di bawah kendalian Penerbit Konsert, Jennifer Thompson memberikan pengalaman baharu yang cukup bermakna.

Saya tak pernah melihat secara terperinci bahagian-bahagian produksi sebegini misalnya pemain ‘horn’ ada tiga kru, pantau gubahan-gubahan menerusi ‘laptop’. Saya tak pernah kerja macam ini.

“Lain daripada yang lain, satu pengalaman dan ilmu menarik. Pengarah muzik pastinya setiap hal ‘on point’ termasuk fokus kepada setiap sesi setiap hari. Sangat tepat dan terperinci,” katanya.

Bakal mendendangkan lebih 20 lagu, Amy tidak sabar melihat peminat datang dengan gaya tersendiri yang juga sebati dengan identiti dirinya selaku ‘penggila’ fesyen.

Temanya adalah penonton kena datang cukup ‘fashionable’, bergaya glamor, lengkap berkaca mata hitam sesuai dengan perjalanan konsert itu nanti yang penuh berwarna-warni.

“Muzik saya sama taraf dengan cita rasa fesyen saya. Banyak stail dan konsert itu adalah cerminan sepenuhnya mengenai diri saya,” kongsinya.

Sebelum ini, Rock It Like Amy diumumkan sebagai tema Amy Search Magic First Solo Concert yang menggalakkan peminat untuk mengenakan gaya fesyen yang mencerminkan semangat dan identiti rock n’ roll.

Tiket konsert yang dibawakan TheWhiteGroup dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia boleh ditempah di www.wowtix.com.my. – HIBGLAM

 

Foto

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok