Erissa Puteri sah bergelar isteri anak orang kenamaan

BERSEMAYAM indah dalam busana putih suci, penyanyi dan pelakon jelita, Erissa Puteri akhirnya sah menjadi milik mutlak jejaka pilihannya, Daniel Iskandar, dalam sebuah majlis akad nikah penuh sakral yang berlangsung di Hotel Majestic, di sini pagi tadi.

Dengan sekali lafaz tepat jam 11 pagi, pasangan merpati dua sejoli itu disatukan sebagai suami isteri oleh jurunikah, Dr. Adam Drahman, berwakil wali bapa pengantin perempuan, Hashim Daud.

Erissa atau nama penuhnya Erissa Puteri Hashim, 22, menerima mas kahwin berupa 70 gram emas sebagai tanda ikatan suci yang terbina manakala jumlah wang hantaran pula dirahsiakan atas permuafakatan kedua belah keluarga.

Majlis serba eksklusif yang diserikan kehadiran 200 tetamu itu berlangsung dalam suasana penuh kasih dan sakinah, menyaksikan pertukaran sembilan dulang hantaran daripada pihak perempuan dibalas sebelas pengantin lelaki.

Menambahkan seri pengantin, pihak pengantin lelaki turut menghadiahkan seutas rantai emas kepada Erissa, manakala sebagai tanda penerimaan dalam keluarga baharu, Erissa menerima rantai berlian iaitu satu warisan keluarga yang amat bermakna.

Sebagai pelengkap kebahagiaan, majlis turut mendapat sentuhan eksklusif Habib Jewels yang menaja barang kemas pengantin perempuan.

Tiada kata selain syukur, Errisa akhirnya mampu tersenyum selepas ikatan yang dibina bersama jejaka cinta hatinya berakhir di pelamin.

Pun begitu, sebagai anak tunggal, dia tidak dapat menafikan rasa sebak untuk berpisah dengan keluarga tercinta.

“Alhamdulillah, saya bersyukur perkenalan kami setahun membawa kepada pelaminan. Sangat gementar tetapi teruja ingin memasuki fasa baru dalam kehidupan.

“Saya juga rasa sangat berat untuk meninggalkan keluarga sebab saya sangat rapat dengan mereka,” luahnya.

Pengantin lelaki kini bertugas sebagai Associate Strategy di Jelawang Capital, Khazanah Malaysia dan merupakan putra kepada pasangan terhormat, Datuk Haji Zaidi Mohamed dan Datin Hajah Mahfuzah Zakkiah Abdain.

Sementara itu, pengantin perempuan bukan sekadar pelakon dan penyanyi berbakat, malah puteri kesayangan kepada Encik Hashim Daud dan Puan Kusumowati Muhammad @ Ariffin.

Kisah cinta Erissa dan Daniel bukanlah bermula sejak sekian lama malah pasangan ini tidak sampai setahun mengenali hati budi sebelum memilih untuk bertunang pada Januari lalu.

Erissa, yang pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia menerusi Ceria Popstar musim kedua pada 2014, mula melebarkan bakat dalam dunia lakonan menerusi beberapa drama popular termasuk Geng UPSR, Puasa Oh Puasa dan SMK.

Daripada seorang bintang cilik, kini Erissa melangkah ke fasa baru sebagai seorang isteri, membuktikan bahawa gadis manja suatu ketika dahulu sudah bersedia memikul tanggungjawab wanita dewasa bergelar isteri. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok