MEMAINKAN karakter seorang tokoh, tidak mudah tetapi cabaran itu yang disahut Beto Kusyairy untuk filem Gayong.
Meski pada awalnya berat untuk diterima, namun pada akhirnya tanggungjawab tersebut dipikul sebaik-baiknya. Dia berbesar hari menjayakan watak pengasas seni silat Gayong Malaysia iaitu Allahyarham Mahaguru Datuk Meor Abd. Rahman Uda Mohd Hashim dalam Gayong.
“Awalnya saya tolak sebab tak berani walaupun ada asas silat gayong yang dipelajari di sekolah suatu ketika dahulu.
Sebenarnya saya rasa berbesar hati tapi dalam masa sama gemuruh sebab pegang watak nama seorang tokoh besar dan memang beri tekanan pada diri sendiri,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Hatinya mula terbuka menerima tawaran tersebut setelah melihat alur cerita tentang seorang tokoh seni mempertahankan diri yang berjuang untuk tanah air.

BETO awalnya menolak tawaran menjayakan Gayong dek kerisauan memikirkan tanggungjawab menghidupkan watak tokoh seni persilatan tanah air, Datuk Meor yang juga pengasas Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia.
– FARIZ RUSADIO
Tidak kisah sekiranya dibandingkan dengan karakter asal, Beto hanya mahu membuktikan bahawa silat adalah satu khazanah bernilai besar dan perlu dipertahankan generasi muda hari ini.
“Saya setuju dan terima sebab latar masa cerita ini sebelum silat gayong didaftarkan secara rasmi sebagai satu pertubuhan pada 1963.
Perkara paling saya risau adalah sensitiviti pewaris dan anak murid arwah tetapi selepas bertemu dengan mereka, banyak input saya dapat dan diberi kebebasan untuk mewarnakan lagi karakter tersebut.
“Saya usaha untuk tonjolkan bagaimana arwah mengangkat seni silat supaya tidak dipandang rendah dan diperlekehkan penjajah ketika itu,” ujarnya.
Pemilik nama penuh NurKusyairy Zakuan Osman itu berharap filem Gayong mampu mengembalikan semula kegemilangan silat yang semakin hari semakin dipandang sepi generasi muda.
“Saya sudah jalankan tugas dan niat utama adalah nak julang perjuangan seorang anak Melayu. Tiada niat pun nak memburukkan imej atau merendahkan Datuk Meor.
Kalau di luar, kita ada Bruce Lee dan Ip Man, di Malaysia kita sebenarnya ada ramai tokoh hebat yang tak didendang.
“Generasi sekarang pun lebih pandang seni luar seperti seni bela diri campuran (MMA), sementara silat yang merupakan warisan negara pula diperlekeh orang kita sendiri.
“Kalau bukan kita, siapa lagi nak angkat tradisi dan warisan tanah air? Jati diri Melayu yang masih utuh hari ini hanyalah busana dan seni mempertahankan diri. Bahasa pula sudah semakin ‘rojak’” jelasnya.
Mengakui jalan cerita Gayong bukan tentang mafia atau komedi yang diminati ramai, Beto tetap meletakkan harapan besar naskhah berkenaan mampu menarik masyarakat Malaysia ke panggung bermula 1 Mei depan.
“Saya tak minta banyak tetapi mudah-mudahan, dengan filem ini, silat Gayong akan kembali gah.
“Tanpa sedar, ini juga penglibatan saya dan dalam masa sama ‘menjentik’ sedikit generasi baharu yang sudah mula lupa dengan tradisi dan warisan tempatan,” ujarnya lagi.
Dia juga berkata, terdapat segelintir individu yang mempersoal penggunaan pedang dalam poster rasmi Gayong.
“Ramai yang perlekeh silat terutama poster Gayong. Ada yang persoal kenapa pakai pedang bukan keris. Hakikatnya, silat banyak melibatkan senjata lain dan bukan keris semata-mata.
“Namun, bila wujud perdebatan begitu, buat ramai mula nak tahu dan belajar sesuatu tentang silat,” katanya lagi.
Selain Beto, naskhah arahan Faisal Ishak tersebut membariskan membawa nama besar lain seperti pelakon aksi Seberang Yayan Ruhian, Nabila Huda dan Syafie Naswip.
Kejar populariti
Bercakap hayat lakonan berada di fasa matang, Beto mengakui selektif untuk menyahut tawaran lakonan. Tegasnya, fasa ‘honeymoon’ sudah terpadam dalam kamus kerjaya seninya.
“Sekarang, saya cukup serius dengan kerja saya, fasa main-main sudah lepas.
Memang saya cerewet tapi syukur setiap tawaran yang hadir buat masa ini memang bagus-bagus dan saya sendiri tak akan tolak.
“Kalau jadual bertindih sahaja saya terpaksa tolak dan cadangkan nama rakan-rakan lain yang mampu lakukan waima pelakon baharu sekali pun,” tuturnya.

BETO memuji generasi pelakon baharu terutama ‘geng Kahar’ yang disifatkan ada potensi besar.
Asyik bercerita, Beto sempat mengagumi bakat beberapa pendatang baharu terutama ‘geng Kahar’ seperti Nadhir Nasar dan Amir Ahnaf yang disifatkan mempunyai potensi besar.
“Saya respek pelakon generasi muda terutama ‘geng Kahar’ sebab mereka bagus dan ada potensi.
Cuma saya harap mereka tak lupa diri. Tak salah nak popular dan kemasyhuran cuma jangan terlalu mengejar.
“Kalau nak jadi pelakon dan serius dengan kerjaya, jangan risau sebab kemasyhuran akan datang kemudian dan harap boleh ‘handle’ dengan baik,” tuturnya.
Turut menitipkan nasihat, Beto berharap pelakon generasi ini tidak menambahkan lagi persepsi buruk terhadap industri seni tanah air.
Baginya, industri seni termasuk pelakon mampu mengubah dan menggerakkan sesuatu budaya, namun hari ini semua itu dikaburkan dengan cerita sensasi dan kontroversi segelintir selebriti.
Orang di luar sana, mereka perlekeh kerjaya pelakon sebab yang mereka nampak hanya kontroversi tetapi tidak nampak minoriti yang betul-betul kerja keras.
“Jadi, kena ubah persepsi orang bahawa pelakon adalah kerjaya profesional yang perlukan skil.
Tak semua orang boleh berlakon sebab memerlukan banyak proses dan keringat yang orang tak nampak.
“Hakikatnya, pelakon adalah penglipur lara dan kesenian ini mampu ubah persepsi tentang pemikiran, budaya, falsafah dan benda yang kita nak terapkan pada masyarakat,” jelasnya. – HIBGLAM