SEMAKIN terbuka kembali melalui fasa bercinta, pelakon Erra Fazira mengakui tiada rasa gementar makan malam bersama usahawan, Ezwan Zain atau Mr. E di tempat umum buat pertama kali.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, berkata, kematangan membolehkannya menjalani proses perhubungan baharu itu dengan lebih tenang dan santai.
“Banyak beza, kalau dulu saya menggelabah, tapi sekarang seiring usia saya sudah semakin okey, makin matang. Tiada apa perlu saya sembunyikan.
“Kalau dulu nak pergi ke mana-mana, nak dating keluar makan malam pun kena ada orang (lain) temankan. Jaga privasi (sebab) banyak hati nak fikir tapi sekarang saya jalan terus serta nak lalui fasa normal macam orang lain.
“Menariknya saya pernah keluar pertama kali di tempat ramai orang di Kampung Baru walaupun masih cari sudut-sudut dan orang tengok, saya rasa baik-baik sahaja,” katanya dalam sesi bersama Syok Podcast.
Menyifatkan panggilan Ezra iaitu singkatan namanya dengan Ezwan sebagai usikan nakal netizen, ibu tunggal anak satu itu hanya mengharapkan doa ramai.
Katanya, biarpun keakraban dengan lelaki berusia 44 itu kini meraih sokongan ramai dan diperkatakan, tempoh paling utama adalah fasa seterusnya.
“Alhamdulillah. Ada yang kata restu, lulus, bagi tanda setuju tapi apa pun saya lebih kepada memohon doa. Kadang-kadang indah di sini, cuma biarlah berterusan.
“Selepas itu yang paling penting iaitu fasa seterusnya. Jadi doakan sahaja yang baik-baik.
“Dia pun dah jumpa ibu saya, saya dah kenal ahli keluarga terdekatnya tapi no rush, kita kenal hati budi keserasian yang penting serta matlamat kita di hujungnya,” ujarnya.
Selepas heboh khabar hati Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu sudah dimiliki sekitar awal tahun ini, identiti Ezwan berjaya ‘dikorek’ netizen namun kedua-dua mereka lebih selesa membiarkan status hubungan menjadi teka-teki.
Namun klip video memaparkan pelantun lagu Hanya Di Mata terbabit muncul dalam siaran langsung bersama lelaki berstatus duda itu seakan-akan mengesahkan mereka lebih daripada kawan biasa.
Sebelum Syawal pemilik sebuah kafe itu turut memberi bayangan bakal membawa hubungan mereka ke fasa lebih serius, manakala Erra juga dilihat senada dengan kenyataan Ezwan. – HIBGLAM