FESYEN era 90-an kembali! Ya, tetapi lebih kemas dan disuntik dengan elemen terkini. Jenama kasut terkenal Dr. Martens melancarkan koleksi terbaru yang diberi nama Buzz.
Menariknya, kolekasi Buzz ini diinspirasikan daripada gaya era 90-an. Koleksi ini tampil berani, bertenaga dan penuh gaya. Dengan reka bentuk platform tebal yang cukup ikonik pada tahun 90-an, jahitan kuning dan elemen terkini yang lebih segar, Buzz adalah gabungan sempurna antara warisan klasik dan trend moden.
Buzz menampilkan siluet lace-up 5-lubang yang direka di atas platform tebal dan empuk, sekali gus memberikan ketinggian serta keselesaan maksimum.
Reka bentuknya menggabungkan DNA klasik Dr. Martens dengan suntikan gaya jalanan yang kontemporari.
Bahagian bawah kasut dihiasi dengan corak daun yang eksklusif, manakala garis jahitan mengikut lengkungan tapak menambah karakter tersendiri.

TAMPIL hebat dengan koleksi Buzz yang mengangkat kembali kegemilangan fesyen era 90-an.
Setiap pasang turut dilengkapi dengan kolar berlapik di buku lali untuk sokongan tambahan, serta tapak ‘bouncing sole’ yang sinonim dengan keselesaan luar biasa jenama terkenal itu.
“Buzz membawa estetika sporty dan streetwear yang segar dalam koleksi kami.
Kami melihat ramai wanita kini menggemari gaya retro 90-an dan Buzz hadir tepat pada waktunya untuk menghidupkan kembali gaya itu, tetapi dengan pendekatan yang lebih moden dan selesa,” kata Bridie Husband, pereka kasut Dr. Martens.
Koleksi Buzz ini bukan tentang rekaan semata-mata tetapi juga ekspresi. Tersedia dalam pelbagai pilihan material dan warna menarik.
Antaranya, Hair On Leather bercorak leopard untuk gaya yang liar dan unik, Grizzly Leather dan Milled Nappa Leather yang lembut dan mewah serta EH Suede yang tahan lasak untuk pemakaian harian.
Setiap variasi membawa karakter berbeza, daripada berani dan funky hingga minimalis dan chic. Koleksi ini memberi ruang kepada pemakai untuk benar-benar mengekspresikan diri mereka.
Lebih menarik, Buzz merupakan hasil kreativiti generasi baharu di sebalik tabir Dr. Martens membuktikan bahawa jenama ini bukan hanya relevan, malah terus berevolusi.
Koleksi ini telah dilancarkan secara global bermula Februari 2025 lalu dan boleh didapati dalam talian dan di butik terpilih seluruh dunia. – HIBGLAM