BILA masa pula ada bodyguard? Itu pemandu saya sebab saya tak pandai memandu.”
Demikian kata penyanyi Hael Husaini yang menafikan dirinya menggunakan khidmat pengawal peribadi bagi melindungi keselematannya.
Menurut Hael atau nama lengkapnya Hal Husaini Razmi, 32, dia mengupah pemandu peribadi bagi memudahkan urusan kerja.
Kalau banyak ‘show’ (persembahan), kena berada di tempat kejadian tepat pada waktunya supaya semua klien saya berpuas hati.
“Jadi, sebab itu saya hanya ada pemandu kereta bagi menjaga masa saya,” katanya kepada HibGlam di Majlis Rumah Terbuka Hael Husaini & Nadeera X Huge Entertainment House , semalam.
Pelantun lagu Diam itu turut memaklumkan dia tidak memerlukan khidmat pengawal peribadi buat masa ini.
Buat masa ini, saya belum lagi ada ‘bodyguard’. Kalau ikutkan mungkin ada beberapa majlis yang memerlukan pengawal peribadi terutama melibatkan jenam-jenama besar.
“Waktu itu mungkin saya memerlukan khidmat mereka (pembantu peribadi) untuk menjaga barang-barang yang berharga lebih daripada kemampuan saya,” jelasnya.
Sebelum ini, timbul desas-desus Hael ‘pasang’ pengawal peribadi apabila sentiasa ditemani seorang lelaki di setiap acara dihadirinya. – HIBGLAM