KALAU dia tak mahu lepaskan saya ikut sahaja. Tetapi mungkin akan buka satu fail lain.”
Demikian amaran pelakon Linda Hashim terhadap suami, Beego sekiranya tidak mahu menceraikannya.
Pada masa sama, Linda atau Norhazlinda Hashim, 41, yang tiba di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada pukul 11.15 pagi itu masih berharap hubungannya dengan Beego kekal baik demi kesejahteraan anak-anak.
“Harapan saya agar pengakhiran yang baik dan tiada masalah sebab saya tidak tahu keputusan macam mana lagi.
Selepas ini, harap kami masih boleh berdamai demi anak-anak,” katanya kepada HibGlam.
Dalam masa sama, Linda memaklumkan dia melantik bapa saudaranya, Johaini Arif selaku wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Saya bawa bapa saudara saya sebagai wakil JKP sebab dia saksi semasa bernikah.
“Bapa saya tidak boleh datang sebab berada di kampung dan menggunakan kerusi roda jadi susah sikit.
“Saya gunakan pak cik sebab apa-apa urusan dia uruskan termasuk hal kahwin saya,” jelasnya yang ditemani peguam mewakilinya, Nurul Fadzilah Kamaluddin.
Sementara itu, pemilik nama lengkap Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, masih kekal dengan pendirian untuk tidak melepaskan isterinya, Linda Hashim.
Beego melantik ibunya iaitu Roshidah Elias, 66, selaku wakil JKP.
“Hari ini lantikan JKP tetapi tiada apa sangat.
Saya lantik mak saya sebagai wakil.
“Harapan masih sama nak cuba selamatkan rumah tangga,” tuturnya.
Beego yang hadir pada pukul 11 pagi tadi turut ditemani peguam yang mewakilinya iaitu Muhammad Akmal Amzan.
Sebelum ini, hakim, Wan Mohd Najib Wan Hamat memutuskan kes permohonan cerai pasangan Linda dan Beego akan diteruskan dengan pelantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 23 April depan.
Terdahulu, Linda memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.
Pada Mei 2023 pasangan terbabit hadir ke mahkamah sama bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak susulan mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac 2023.
Aktres itu turut mendedahkan dia dan Beego pernah bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan mereka kembali rujuk iaitu pada April 2023.
Namun dia mengakui tidak mendedahkan perceraian kedua kepada umum kerana bimbang dianggap mempermainkan perkahwinan.
Terdahulu, mereka mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – HIBGLAM