TERPANGGIL bersuara tentang kes buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), pelakon Rita Rudaini berpendapat peraturan ketat di institusi pendidikan antara punca mendorong berlakunya gejala buli.
Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 48, memaklumkan, pelajar zaman kini tidak berfikir panjang sebelum bertindak termasuk melakukan jenayah.
“Kadang-kadang peraturan yang ketat serta tegas tak tentu fasal pun boleh buat budak-budak stres dan mula memberontak, buat hal dan kacau orang. Daripada seronok-seronok kacau terus naik taraf kepada buli.
Ada yang tak kacau orang tetapi nak lepaskan stres dengan cara lain seperti hisap rokok atau vape. Budak-budak sekarang walaupun lahir di zaman canggih tetapi otak mereka tak secanggih budak zaman dulu.
“Budak-budak zaman dulu nak buat satu benda memang akan fikir 100 kali sambil terbayang kena libas. Budak-budak sekarang buat dahulu, nanti bila-bila lapang baru fikir,” katanya dalam hantaran Instagram.
Berkongsi lanjut, pelakon filem Mami Jarum itu turut menegaskan sikap ibu bapa juga mendorong pembentukan keperibadian pelajar selain pengaruh rakan sebaya.
Didikan bermula dari rumah. Nak tengok keperibadian seseorang, tengok dengan siapa dia berkawan.
“Ketegasan dan kekerasan berbeza, hormat dan takut mana satu pilihan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Rita menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki atas tindakan pantas menamatkan pengajian pembuli yang terlibat.
“Terima kasih Asyraf Wajdi, tindakan yang cepat walaupun benda dah jadi tahun lepas. Pihak Maktab tak patut sorok atau ambil ringan.
Maktab tak salah, mana-mana sekolah pun sama. Yang tak betul perangai dan sikap manusia.
Sebelum ini, tular sebuah video dipercayai membabitkan pelajar sebuah MRSM di Pulau Pinang.
Rakaman video tersebut memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.
Remaja lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada tindakan tersebut adalah satu gurauan atau perbuatan buli. – HIBGLAM