SETIAP individu pasti ada impian termasuk barisan selebriti yang punya 1,001 harapan dalam kerjaya seni.
Penyanyi misalnya, pasti terselit cita-cita berkolaborasi dengan artis luar negara lebih-lebih lagi penghibur terkenal dunia.
Pelakon pula tentu sahaja berharap dapat muncul dalam naskhah luar tidak terkecuali bintang Korea Selatan yang mahu menakluk industri hiburan Bollywood.
Berikut adalah empat pelakon yang mahu beraksi dalam filem hindi.
Lee Min-ho
SIAPA tidak kenal pelakon tampan, Lee Min-ho yang sering menjadi hero dalam drama popular.
Menerusi satu temu bual bersama India Today, aktor berusia 37 tahun itu mengakui sering menonton filem Bollywood yang disifatkan mempunyai keunikan tersendiri.
Pelakon drama Boys Over Flowers itu percaya Bollywood boleh menjadi platform bertukar idea dan berkomunikasi dengan lebih ramai peminat.
Jika diberi peluang, dia berminat menjayakan filem Bollywood bagi merasai keindahan budaya di India.
Park Min-young
MULA bertapak dalam industri hiburan pada 2005, pelakon Park Min-young sering diberikan watak utama dalam K-Drama.
Pada awal tahun lalu, Min-young atau lebih dikenali sebagai Rachel dalam satu temu bual memaklumkan terbuka untuk bekerja dengan produksi Bollywood.
Dia menganggap peluang bekerja dalam produksi India sama seperti terbabit dengan karya muzikal.
Baginya, filem Bollywood memiliki ciri khas dan keunikan tersendiri sekali gus membuatkannya tertarik untuk mencuba nasib di sana.
Jang Ki-yong
Jang Ki-young peminat setia filem Bollywood selepas mendapati filem India lebih besar pengaruhnya berbanding Korea Selatan.
Sejak itu pelakon berusia 32 tahun itu menyimpan cita-cita untuk muncul dalam filem Bollywood.
Jika diberi peluang, bintang The Atypical Family itu tidak kisah membawakan apa-apa karakter.
Baginya, kecil atau besar watak bukan keutamaan sebaliknya mahu merasai pengalaman bekerja dengan produksi Bollywood.
Malah dedah Ki-young, dia sudah bersedia terbang ke India pada bila-bila masa jika ada tawaran.
Wi Ha-joon
MESKI tidak pernah berkunjung ke India, bintang drama popular Squid Game, Wi Ha-joon tetap teringin muncul dalam filem Bollywood.
Malah, isu bahasa serta budaya berbeza tidak menghalang pemilik nama sebenar Wi Hyun-yi untuk memahami karya dari negara berkenaan.
Keinginan untuk menimba pengalaman beraksi di bawah pasukan Bollywood bermula apabila negara itu sering bermain dalam fikirannya. – HIBGLAM