Berhenti tuduh ibu saya halau Bella, mereka okey – Muaz Zabir

 BERHENTI kata mak saya tak suka wanita ibu tunggal”.

Demikian kata Muaz yang memohon netizen menghentikan spekulasi ibunya tidak merestui hubungannya dengan Bella  kerana berstatus ibu tunggal anak dua.

Muaz atau nama sebenarnya, Muaz Mohamad Zabir, 28, menegaskan ibunya tidak pernah ada masalah dengan Bella sepanjang perkenalan mereka.

“Berhenti kata ibu saya tidak suka Bella, sedangkan Bella pun okey sahaja dengan ibu saya. Bella pernah jumpa dan makan bersama dengan ibu saya, tiada sebarang masalah pun.

Sebelum ini kami berkawan, tidak ada istilah ibu saya tak suka Bella. Tolonglah berhenti kata mak saya halau Bella atau ada video pergaduhan kerana semua itu tidak wujud,” kata Muaz.

Sambung Muaz, sehingga kini hubungannya dengan Bella masih baik, malah turut beraya dikediaman penyanyi dan pelakon itu baru-baru ini.

Saya masih baik dengannya, sempatlah beraya di rumahnya dan jumpa keluarganya. Cuma saya sahaja tidak jemput Bella ketika raya kerana rumah terbuka diadakan di kampung halaman saya,” ujarnya.

Sementara itu, Muaz turut meminta netizen agar berhenti membandingkan dirinya dengan ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang kini rapat dengan Bella.

Baginya perbandingan itu tidak perlu kerana bimbang akan mencetuskan isu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Lelaki tidak suka dibandingkan, saya sendiri tidak mahu dibandingkan. Saya datang beraya ke rumahnya bukan untuk dibanding-bandingkan atau tunjuk rapat dengan keluarga serta anak Bella.

Tidak ada niat saya untuk memecah-belah Bella dan Syed Saddiq. Saya sendiri sokong kalau itu (Syed Saddiq) yang terbaik untuk Bella.

“Saya tidak adalah masalah dengan Bella mahupun dengan Syed Saddiq. Jadi, tolonglah netizen jangan rumitkan atau  keruhkan keadaan yang boleh menyebabkan salah satu pihak terasa dengan benda yang tidak sepatutnya,” tuturnya yang ditemui pada majlis rumah terbuka produksi Global Station Sdn. Bhd, semalam.

Selain itu, Muaz juga berharap netizen berhenti mengaitkan keluarga terutama ibunya dalam kontroversi yang dihadapinya.

“Apa sahaja kesalahan saya dalam dunia ini tolong jangan babitkan keluarga. Apa yang terjadi antara saya dengan Bella tidak ada kena mengena dengan keluarga,” tegas Muaz.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok