43
ANAK kepada pelakon Abby Abadi, Marissa Dania berharap ibunya dapat berhenti mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh mengundang fitnah terhadap dirinya dan suami.
Malah, Marissa atau nama lengkapnya Marissa Dania Hakim, 20, turut meluahkan rasa kesal apabila suaminya, Aslam dituduh sebagai pedofilia sekali gus menafikan tuduhan tersebut.
“Saya menulis ini dengan hati yang sangat berat. Sebagai anak, saya tidak pernah berhenti menyayangi dan hormat pada ibu saya tetapi hanya mahu hentikan segala ruang fitnah.
Tuduhan yang sangat serius dibuat ke atas saya dan suami sehingga dia digelar dengan gelaran yang sangat menjijikkan dan tidak berasas seperti pedofilia.
“Sebagai seorang manusia dan isteri yang tahu keseluruhan cerita betul, saya ingin menegaskan bahawa tuduhan itu tidak benar sama sekali,” katanya dalam Threads.
Tetap hormat
Dalam masa sama, anak perempuan kepada pelakon Norman Hakim itu juga berharap segala kemelut yang dihadapi dapat diselesaikan secara baik tanpa melibatkan media sosial.
Dia juga meluahkan rasa kecewa apabila pemilik nama lengkap Arbaiyah Abdul Manan, 48, tidak mengendahkan permintaannya untuk berjumpa selain mengabaikan hantaran mesej.
“Saya menghormati ibu saya tetapi saya mohon hentikan penyebaran cerita yang tidak benar dalam media sosial. Sebarang rasa tidak puas hati seharusnya dibincangkan secara tertutup bukan diumumkan kepada umum sehingga nama dan maruah orang lain terjejas.
Apa yang lebih menyedihkan apabila saya cuba menghubungi ibu saya secara baik melalui WhatsApp, semuanya tidak diendahkan. Tiada ruang untuk berbincang, tidak mahu berjumpa.
“Namun, dalam masa sama, cerita disebarkan secara umum dan berterusan dalam media sosial,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, Marissa memaklumkan tujuan utama memuat naik hantaran adalah untuk mempertahankan hak dan maruah diri dan berdoa agar Allah melembutkan hati semua.
Saya menulis ini bukan untuk membalas dendam tetapi untuk menjernihkan keadaan. Apabila maruah dan harga diri terus diperlekehkan, kami berhak untuk membela diri.
“Saya mohon agar segala rasa kurang senang dapat disuarakan secara peribadi dan tertutup. Kami hanya manusia biasa yang sedang cuba memperbaiki hidup.
“Semoga Allah memberi keampunan dan melembutkan hati kita semua dan semoga kebenaran akhirnya menutup segala keburukan yang sedang digembar-gemburkan,” tuturnya.
Kahwin kehendak masing-masing
Selain itu, anak kedua daripada pasangan Abby dan Norman itu menegaskan bahawa perkahwinannya terjalin atas persetujuan masing-masing.
“Ya, kami berkawan tetapi kami tidak ada hubungan beberapa tahun sebelum ini. Dia bukanlah lelaki yang sempurna namun dia bukan penjenayah.
Kami bernikah dengan persetujuan bersama dan kerelaan. Saya bukan mangsa mahupun apa yang diperkatakan,” jelasnya.
Sebelum ini, Abby meluahkan rasa hairan apabila ada pihak yang memintanya memohon maaf kepada madu Marissa iaitu Umisya Mazlan.
Suaminya juga melakukan permohonan secara terbuka kepada Abby selain menegaskan keputusan berpoligami adalah untuk menjaga nama baik keluarga serta maruah Marissa.
Terdahulu, nama Marissa menjadi bualan ramai pada Januari tahun lalu selepas bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Pasangan terbabit dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan yang ketika itu sedang menunaikan umrah.
Pernikahan tersebut juga berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk ibu dan bapanya iaitu pelakon, Norman Hakim. – HIBGLAM