REDA dengan pemergian Allahyarham Nico, 53, yang sudah dianggap seperti abang kandung, penyanyi yang juga anggota kumpulan Nico G, Affa akan mengenang segala kebaikan arwah sehingga hujung nyawanya.
Affa atau nama sebenarnya, Muzaffar Shah Baharin berkata, kalau tiada arwah maka tidak akan pernah terbentuklah kumpulan Nico yang terkenal dengan lagu Inilah Nasibku.
“Sedih sangat-sangat kehilangan seorang abang yang menjaga kami (saya dan Dino). Kiranya, dia Abang Long saya. Dia lindungi saya dari setiap inci terutama ketika aktif berkecimpung dalam dunia seni dulu.
Saya kerap berhubung dengan arwah. Walaupun lepas habis Gegar Vaganza 8 (GV8) masing-masing sibuk dengan hal sendiri, saya selalu telefon dan tanya khabar dia.
“Arwah sibuk dengan kerja dia, saya juga sibuk dengan kehidupan tapi itu tak menghalang kami untuk kekal rapat,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hasil bedah siasat, kematian Allahyarham Nico (kiri) disebabkan hypertensive heart disease atau penyakit jantung hipertensi.
Ganjil
Dedah Affa lagi, fizikal dan wajah arwah menunjukkan sedikit keganjilan sejak tahun lalu terutama ketika dia bertemu dengan penyanyi senior, Aris Ariwatan.
“Dia (Aris Ariwatan) cakap muka Nico dah nampak lain. Tak silap saya itu sekitar tahun lalu dalam bulan November.
Abang Aris suspek arwah memang dah ada sakit jantung. Dia sendiri telefon saya nasihatkan arwah makan ubat cumanya, arwah tak pernah mengadu apa-apa dengan orang,” ceritanya lagi.
Terkedu dan terkejut dengan pemergian Allahyarham Nico atau nama sebenarnya, Abdul Fashah Abdul Aziz yang meninggal dunia dalam tidur pada 4 April lalu, Affa bagaimanapun mendoakan agar roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Kita tahu arwah bawa Grab (e-hailing) dan waktu kerjanya tak menentu. Saya telefon arwah dalam bulan Disember.
Saya tanya dia ada jumpa dengan Aris Ariwatan. Dia jawab, ada. Saya cakap dengan dia Aris mengadu muka arwah pucat, lesu dan kekuningan, tapi itulah, dah memang ajal siapa kita nak menidakkannya,” kata Affa lagi.
Sementara itu, bekas isteri arwah iaitu Sharizuria Azlin Ridzuan, 45, memaklumkan, walaupun sudah berpisah dengan Nico lama dahulu, dia tetap menghormati figura itu.
“Kali terakhir kami berjumpa 23 Mac lalu, berbuka puasa bersama-sama di rumah bapanya di Pandan Indah. Kali terakhir berhubung masa 1 Syawal.
Hubungan kami masih okey walaupun sudah bercerai. Arwah seorang yang kelakar, suka menyakat. Saya memang terkejut dengan pemergiannya.
“Arwah memang tiada sejarah penyakit, dia kerja kuat bawa Grab. Dia ada mengaku selalu lelah tapi memang tak pernah mengadu ada sakit,” ujarnya.

SHARIZURIA memaklumkan kali terakhir berhubung dengan Nico pada 1 Syawal lalu.
Allahyarham Nico mencipta populariti bersama kumpulan Nico pada awal 1990-an yang turut dibarisi Affa dan Dino.
Mereka pada asalnya menggunakan nama Nico atau Network International Chicanos Organization dan dikenali menerusi lagu Inilah Nasibku pada 1993.
Bermula dengan album Buatan Los Angeles, trio itu kemudian tampil dengan Realiti pada 1995 dan Alamak! (1996).
Nico pernah kembali pada 2003 menerusi Ops Kecoh bersama ahli baharu, Ezad.
Selepas sekian lama menyepi, Nico muncul semula dengan barisan anggota asal bersama nama baharu, Nico G sebagai projek penjenamaan semula kumpulan mereka. – HIBGLAM
Jenazah Allahyarham Nico dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang Sabtu lalu.