AKHIRNYA bersuara, menantu Abby Abadi iaitu Aslam membuat permohonan maaf secara terbuka kepada ibu mentuanya itu meskipun pernah melakukan perkara tersebut secara peribadi sebelum ini.
Menurut Aslam, 26, tindakan berdiam diri bukan pilihan terbaik ketika ini dan perlu bersuara untuk menjernihkan kembali keadaan.
“Saya jarang bersuara kerana ditempat dan kedudukan yang bersalah. Tapi ada masa diam itu bukan lagi pilihan.
“Saya sudah pun pernah meminta maaf kepada kedua ibu mentua saya. Tetapi ibu mentua (Abby) mungkin ingin saya memohon maaf secara terbuka dalam media sosial.
Dengan rendah hati, di sini saya ingin memohon maaf kepada semua pihak terutama ibu mentua saya, Abby Abadi kerana banyak perkara yang telah saya lakukan sangat berat,” katanya dalam platform Threads hari ini.
Aslam bagaimanapun berpendapat, menasihati secara peribadi merupakan jalan terbaik berbanding bercerita kepada umum sehingga mengundang fitnah.
“Saya hormat pandangan semua termasuk yang menentang poligami namun apabila tohmahan dan hantaran terbuka dijadikan platform menyindir kami sekeluarga itu bukan lagi pandangan. Itu serangan peribadi.
Dalam pada itu, menerusi hantaran berbeza, dia menegaskan keputusan untuk berpoligami adalah atas dasar tanggungjawab selain berusaha untuk menjadi seorang suami yang adil terhadap dua isterinya.
Ya, saya memilih untuk berpoligami dan ya, berkahwin secara senyap serta bukan kerana suka-suka tetapi kerana keadaan yang memerlukan begitu. Saya tahu risiko dan beban yang datang bersamanya.
“Tapi saya juga tahu lebih baik bertanggungjawab daripada terus bermain dengan perasaan dan masa depan. Saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kedua-dua isteri saya.
“Mereka (dua isteri) tidak berkongsi tempat tinggal termasuk nafkah. Masing-masing saya jaga mengikut kemampuan dan keperluan mereka. Saya tidak sempurna tetapi berusaha berlaku adil,” katanya lagi.
Pada Selasa lalu, Abby meluahkan rasa hairan apabila ada pihak yang memintanya memohon maaf kepada madu Marissa, 20, iaitu Umisya Mazlan.
Selain mempersoalkan permintaan itu Abby menegaskan Aslam perlu memohon maaf kepadanya.
Abby juga memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak memberi tekanan terhadap dirinya sehingga memaksanya untuk bersuara.
Terdahulu, nama Marissa menjadi bualan ramai pada Januari tahun lalu selepas bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Pasangan terbabit dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan yang ketika itu sedang menunaikan umrah.
Pernikahan tersebut juga berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk ibu dan bapanya iaitu pelakon, Norman Hakim. – HIBGLAM