INDUSTRI perfileman tanah air kembali digegarkan dengan ledakan filem Blood Brothers: Bara Naga yang setakat ulasan ini ditulis mencatat kutipan RM24 juta dalam tempoh enam hari ditayangkan di layar lebar.
Sejujurnya, pada awalnya penulis agak skeptikal dengan filem yang mengangkat tema gangsterisme yang sebelum ini terlalu banyak dihasilkan sutradara tempatan.
Namun, selepas menonton naskhah arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra itu selama dua jam 9 minit, tanggapan pertama bahawa Blood Brothers sama seperti filem bertemakan mafia serta gangster sebelum ini jauh meleset.
Masakan tidak, 10 minit terawal dibuka dengan babak aksi penuh mendebarkan sekumpulan ‘bodyguard’ yang bermati-matian melindungi majikan masing-masing sekali gus berjaya melonjakkan adrenalin penonton.
Lucunya, disebabkan babak tersebut ramai yang mula seriau untuk membeli buah mangga potong di tepi jalan kerana risau ditembak. Kedengaran kelakar tapi itu antara komen yang membanjiri media sosial ketika ini.
Bermula detik itu, Syafiq dan Abhilash menghidangkan satu demi satu adegan ‘gila’ lakonan hebat para pelakon terutama Sharnaaz Ahmad dan Syafiq Kyle.
Tanpa henti, pertarungan melibatkan barisan ‘bodyguard’ dan plot twist yang bikin otak berfikir selain mencari titik punca sesuatu konflik ternyata berjaya membuatkan penonton tidak berganjak dari tempat duduk.
Kehebatan setiap pelakon melakukan aksi pertarungan dengan senjata tak perlu dipertikaikan lagi. Sepertinya persiapan selama beberapa bulan setiap pelakon sebelum penggambaran adalah berbaloi.
Paling mencuri perhatian penulis pastinya aksi hebat lakonan Andy Teh sebagai Pablo dan Irfan Zaini (Malik). Memang padu!
Plot twist dengan memaparkan beberapa karakter berpaling tadah daripada Datuk Zul yang juga ‘kepala naga’ lakonan Wan Hanafi Su berjaya mengejutkan penonton.
Membuatkan lebih dramatik, pengarah juga tidak terlepas daripada menyelitkan elemen cinta antara Sharnaaz dan Amelia Henderson.
Namun, sepanjang menonton filem elemen paling kuat diterapkan pastinya kekeluargaan dan berjaya diolah dengan baik oleh pengarah.
Jika orang kata filem mampu mengubah persepsi dan budaya sesebuah masyarakat, Blood Brothers dilihat antara naskhah yang menyangkal stigma terhadap profesion pengawal peribadi.
Watak
Jika sebelum ini ada yang berpandangan tugas pengawal peribadi hanya sekadar menjaga dan mengawal, Blood Brothers membuka mata bahawa kerjaya tersebut melibatkan pertumpahan darah demi melindungi nama golongan elit.
Teringat penulis dengan salah satu dialog, ‘nyawa kita ini (bodyguard) hanyalah permainan orang kaya’. Mungkin ada kebenarannya itu.
Berbicara tentang setiap watak, pujian sememangnya harus diberikan kepada gandingan Sharnaaz dan Syafiq yang melakonkan watak Ghaz serta Arif berjaya menghidupkan jalan cerita sejak awal.
Meski ramai pelakon yang terlibat, pengarah berjaya memberi ‘screentime’ kepada mereka sama adil.
Tiada yang ketinggalan, bahkan karakter ‘Abang Sham’ lakonan Razib Salimin yang realitinya tidak begitu dikenali ramai berjaya membuatkan penonton fokus padanya.
Kemunculan Shukri Yahaya sebagai Fadlan yang pada awalnya sepi daripada sebarang konflik berjaya ‘merampas’ jalan cerita menjadi watak utama pada ‘Act hujung’ dengan perkembangan karakter yang mengejutkan ramai. Dari sebagai anak yang taat, bertukar menjadi menakutkan.
Jika dilihat, Shukri berjaya membuatkan ramai ternganga dengan kemampuannya menjayakan karakter antagonis yang adakalanya ada bayangan watak Joker dalam filem Batman. Mungkin Shukri tidak meniru tetapi ada yang mengatakan nampak mirip!
Sejujurnya bagi penulis, watak Jaki lakonan Syazwan Zulkifly yang wajahnya tidak terpampang dalam poster rasmi Blood Brothers adalah penyeri dan hero tidak didendang.
Kalau tiada Jaki, mungkin filem ini akan sedikit hambar tanpa ada unsur humor.
Secara keseluruhan, walaupun ada sebahagian alur ceritanya boleh dibaca, Blood Brothers dijangka akan menjadi filem terbaik untuk tahun 2025 tetapi mungkin terlalu awal untuk melabelnya.
Rekod filem Sheriff: Narko Integriti berjumlah RM64 juta mungkin akan lebur. Bravo!