“Akhirnya, ramai ‘walid’ kepanasan, ulas dengan emosi”

Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin memuji drama terbitan Viu, Bidaah yang membongkar sisi gelap pengamal ajaran sesat berselindung di sebalik penampilan alim.

Dalam hantaran penuh maksud tersirat, Asri atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza memaklumkan karya yang meledak sehingga ke Indonesia itu turut menerima kritikan daripada golongan pengamal ajaran sesat.

“Hebat bagi sebuah karya seni yang berjaya membakar jubah ‘walid-walid’ yang selama ini bersembunyi atas nama kerohanian untuk menghisap harta dan diri pengikut mereka.

“Akhirnya, mereka mula kepanasan dan mengulas dengan penuh emosi.

“Ketika mereka mengangkat jubah bimbang terkena api, mereka terlupa perkara lain pula yang terdedah,” katanya dalam hantaran Instagram.

Rata-rata bersetuju dengan kenyataan agamawan terbabit selain berharap kisah dikupas dapat menjadi pengajaran buat orang ramai

“Di sebalik jubah ada nafsu yang menggila. Drama ini betul-betul membuka mata ramai orang,” kata pengikut.

“Inilah kebenaran yang sangat ditakuti. Siapa yang makan cili dia yang terasa pedas,” ujar netizen.

“Ramai sebenarnya walid di Malaysia. Banyak yang buat kubu dalam hutan, sembunyi di sebalik pondok dan rumah-rumah amal cuma tidak tahu mana satu serta di mana,” jelas pengikut lain.

Terdahulu, Bidaah yang diterbitkan produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima meraih lebih 2.5 bilion tontonan menerusi platform digital dan media sosial sejak ditayangkan bermula 6 Mac lalu.

Naskhah tersebut menjadi drama paling popular bukan sahaja dalam Viu Malaysia tetapi di Indonesia selama lima minggu berturut-turut.

Kejayaan itu sekali gus mengatasi drama bersiri Korea Selatan yang popular.

Fenomena Bidaah semakin meledak apabila watak Walid, lakonan hebat Faizal turut mencetuskan pelbagai trend parodi dalam TikTok.

Drama berkenaan berkisarkan kehidupan pengamal ajaran sesat, Walid yang tersebar di sebuah perkampungan.

Lelaki itu dengan berani mengakui bahawa dirinya merupakan jelmaan Imam Mahdi kepada pengikut yang taksub terhadapnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok