‘Ada mesej nakal nak jadi isteri batin, tapi itu gurauan’

JIKA dahulu orang gilakan Azroy (Gila-Gila Remaja), sekarang Walid pula buat orang tak berkelip mata.”

Demikian ungkap aktor versatil, Faizal Hussein yang ‘mendunia’ menerusi watak Walid, seorang guru ajaran sesat mengakui dirinya jelmaan Imam Mahadi dalam drama fenomena Bidaah.

Jelas pelakon berusia 58 tahun itu, semenjak menerima lamaran penerbit Erma Fatima untuk membintangi naskhah menyentuh sensitiviti iaitu ajaran sesat, beliau sudah mengagak khalayak pasti akan ‘bising’.

Apatah lagi terdapat babak-babak ‘panas’ yang membikin kontroversi dan membuatkan penonton tidak senang duduk.

Sehebat manapun jangkaan, beliau sama sekali tidak menyangka kekecohan gara-gara drama Bidaah mampu menular sehingga ke Indonesia malah menjadi trending dengan 2.5 bilion tontonan di negara republik tersebut.

“Awal-awal lagi saya sudah tahu perkara seperti ini akan berlaku, tetapi yang tak sangka adalah watak Walid menjadi perhatian.

Saya juga terkejut kerana Walid, saya mendapat ramai peminat daripada generasi baharu dan dari luar seperti Indonesia. Sampai ada yang buat ‘content’ tentang saya dari muda sampai sekarang.

“Ada juga usikan-usikan nakal dalam DM akaun media sosial seperti mahu menjadi isteri batin. Saya hanya menganggap semua itu sekadar gurauan. Jauh di sudut hati, saya cukup terharu dan berterima kasih atas perhatian dan penghargaan yang diberikan penonton,” kata Faizal kepada HibGlam.

Berbicara lanjut mengenai impak  Bidaah yang sedang hangat ditayangkan menerusi platform OTT Viu, akui Faizal watak Walid antara kejayaan terbesarnya selepas watak Azroy dalam filem Gila-Gila Remaja yang dilakonkan pada 1985.

Ironinya, Faizal hampir tidak menjayakan watak Walid kerana enggan lagi watak ketua ajaran sesat selepas filem Abuya pada 2011.

“Ikutkan saya tidak mahu melakonkan watak yang sama berulang kali, tetapi sebab mahu bekerja dengan Erma saya terima.

“Jika dinilai dari sudut produksi, saya pernah bekerja dengan produksi antarabangsa yang lebih besar. Namun, daripada segi impak atas watak, Bidaah memang memberi kesan yang besar.

“Alhamdulillah, mesej yang ingin disampaikan menerusi drama ini tercapai. Bukan saya sahaja, semua pelakon melakukan dengan ikhlas dan hasilnya diterima baik serta menjadi fenomena,” kata Faizal.

Rezeki

Selepas popular dengan watak Walid, saham Faizal Hussein semakin tinggi.Meski pada usia separuh abad, beliau masih mampu mencairkan banyak hati dengan lakonannya.

Selain tawaran lakonan yang semakin mencurah-curah, Faizal juga menjadi perhatian banyak jenama produk untuk bekerjasama menghasilkan iklan atau kandungan promosi di media sosial.

“Rezeki semakin terbuka luas selepas drama Bidaah, saya mendapat banyak tawaran untuk buat iklan dan kandungan media sosial bukan sahaja di Malaysia tetapi juga Indonesia.

Kalau sebelum ini semua iklan atau pun konten pasti mahu kaitkan saya dengan watak Azroy, tetapi sekarang berbeza. Semuanya mahukan Walid, kiranya Walid telah kalahkan Azroy,” luah Faizal.

Ditebak apakah rahsia kekal bertahan dan diminati ramai sedangkan ramai rakan seangkatan sudah memperlahankan rentak, kunci utama Faizal adalah keikhlasan dalam bekerja.

Faizal mendedahkan dengan kerjaya sebagai seorang pelakon, dia berjaya memberi pendidikan terbaik buat anak-anaknya sehingga ke menara gading.

“Penonton sekarang sudah pandai melihat sama ada kita berlakon dengan ikhlas atau tidak. Saya selalu cuba pastikan untuk buat satu ‘take’ setiap kali berlakon kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

“Saya juga pastikan penonton merasai apa yang saya lakonan selain turut menjaga eksklusiviti. Maknanya muka saya tidak bersepah di mana-mana. Tetapi kerana jaga nilai eksklusif setiap kali karya saya keluar orang akan tonton.

“Tidak seperti artis sekarang sehari 10 kali mahu muat naik status dan foto dalam Instagram. Cara saya, biar kerja lakonan yang ‘bercakap’ untuk pihak saya,” jelas Faizal.

Seni, masa depan

Dalam pada itu, Faizal yang sudah lebih setengah abad dalam bidang seni mahu membuktikan kepada orang ramai bahawa kerjaya sebagai anak seni mempunyai masa depan yang cerah dan mampu hidup senang.

Oleh yang demikian, Faizal tidak mempunyai sebarang pekerjaan lain mahupun bisnes melainkan lakonan semata-mata.

“Saya mahu membuktikan stigma orang ramai bahawa bidang seni tidak ada masa depan adalah salah.

“Sebab itu, saya tidak mahu jadi pelakon yang ada bisnes atau menjadikan bidang seni hanya sebagai platform untuk popular dan kemudian keluarkan produk.

Hanya dengan lakonan saya mampu hidup selesa dan menghantar kedua anak saya belajar ke universiti. 

“Saya bukan mahu menjadi jutawan, memadai hidup tenang dan selesa. Apa yang penting ikhlas selebihnya Allah yang akan bantu,” ujar Faizal mengakhiri bicara.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok