5 selebriti Korea dicemuh, dituduh kaki plagiat

DUNIA hiburan Korea Selatan ibarat lautan glamor yang penuh warna-warni. Di sebalik kilauan populariti, ada badai kontroversi sering menimpa nama-nama besar industri. 

Antara isu paling panas dan mencuri tumpuan netizen adalah apabila penampilan idola K-pop dikatakan terlalu ‘mirip’ dengan selebriti lain, baik dari dalam mahupun luar negara.

Biarpun sesetengah hanya kebetulan, namun perbandingan tidak dapat dielakkan apabila gaya rambut, solekan, pakaian, hingga gerak tubuh dikatakan meniru figura lain, terutamanya apabila melibatkan selebriti antarabangsa.

Lebih parah, tuduhan sebegitu kadangkala mengundang kecaman bertubi-tubi dan menjejaskan reputasi si artis hingga memaksa mereka tampil membuat penjelasan terbuka. 

Bagaimanapun, ada juga terus membisu, enggan melayan kata-kata sinis netizen yang serba tak kena.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan lima selebriti Korea yang pernah dikaitkan dengan isu meniru gaya selebriti lain, sekali gus membuktikan betapa penampilan dalam dunia K-pop bukan sekadar soal fesyen, tetapi medan perang penuh risiko.

Taeyong

VOKALIS utama NCT, Taeyong pernah dikecam selepas tampil dengan gaya rambut ‘blonde platinum’ dan gemar berbusana kulit tona hitam yang  sebelumnya sinonim dengan imej Jimin BTS.

Situasi menjadi lebih panas apabila konsep album NCT pada waktu itu dikatakan seakan-akan ‘Jimin-inspired’ menurut pemerhati budaya pop Korea.

Namun, segelintir peminat tampil mempertahankan idola berusia 29 tahun itu dan menyifatkan persamaan tersebut hanyalah kebetulan memandangkan trend dalam dunia K-Pop sering berkembang dengan cepat dan berulang.

Jennie

ANGGOTA kumpulan Blackpink, Jennie pernah menjadi mangsa perbandingan apabila beberapa gaya fesyennya dikatakan terlalu mirip dengan penyanyi antarabangsa, Rihanna. 

Semasa kemunculannya di karpet merah acara Chanel dan beberapa sesi pemotretan majalah, penampilannya dilihat seolah-olah ‘Rihanna versi Korea’.

Daripada potongan rambut pendek dengan aksesori berani sehinggalah padanan busana unik, gaya idola berusia 29 tahun itu membuatkan peminat mula membuat perbandingan dan perdebatan dalam media sosial.

Namun, peminat setia mempertahankan idola kesayangan mereka dengan menyatakan pelantun lagu Solo itu memiliki identiti tersendiri dan sudah lama dikenali sebagai ikon fesyen global.

Karina

TIDAK terkecuali daripada senarai Kimchi Panas minggu ini adalah anggota kumpulan Aespa, Karina yang pernah dihujani tuduhan meniru gaya Lisa, Blackpink, terutama ketika mempromosikan lagunya berjudul Next Level. 

Rambut berponi, solekan dramatik dan koreografi lantang idola berusia 25 tahun itu membuatkan ramai menyamakan konsep persembahan mereka.

Lebih menguatkan tuduhan apabila gadis jelita itu tampil di pentas anugerah muzik, penampilannya  seolah-olah mengimbau visual Lisa sewaktu era lagu Kill This Love. 

Tuduhan menjadi semakin lantang apabila beberapa klip suntingan tular memaparkan gaya Karina dan Lisa secara bersebelahan.

Namun, Karina kekal tenang dan profesional, malah tidak pernah memberi sebarang kenyataan balas.

V

V daripada kumpulan BTS juga pernah terpalit isu sama selepas beberapa gaya pentas dan penampilannya disamakan dengan penyanyi G-Dragon lebih-lebih lagi apabila dia mula bereksperimen dengan busana ‘avant-garde’ dan gaya rambut dramatik.

Perbandingan menjadi lebih ketara apabila idola berusia 29 tahun itu memuat naik foto yang seakan-akan menggamit aura G-Dragon sewaktu zaman kemuncaknya bersama BigBang.

Sesetengah peminat tegar pelantun lagu Power itu menuduh V ‘tidak original’ dan terlalu mencuba untuk menjadi ikon fesyen seperti GD, namun penyokong BTS pula berpendapat perbandingan tersebut langsung tidak adil.

Sunmi

SUNMI, diva solo K-pop yang terkenal dengan gaya eksentrik dan persembahan luar kotak, pernah menerima tuduhan meniru konsep persembahan legenda pop dunia, Madonna.

Kostum pentas yang berunsur provokatif dan elemen tarian berani membuatkan ramai mendakwa idola berusia 32 tahun itu hanya ‘meng-Koreakan’ Madonna tanpa membawa identiti asli.

Namun, dalam satu wawancara, pelantun Heart Burn itu menjelaskan bahawa Madonna ialah idolanya sejak kecil dan dia hanya mengambil inspirasi daripada persembahan bersifat wanita kuat dan mandiri.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok