“Syukri dan anak-anak lain sayang mak sampai bila-bila.”
Demikian perkongsian usahawan kosmetik dan penyanyi, Datuk Seri Aliff Syukri yang akhirnya bertemu ibunya, Bonda Rozita Ibrahim selepas kemelut melibatkan keluarga mereka baru-baru ini.
Menurut Aliff, dia seboleh-bolehnya enggan campur tangan dan menganggu kehidupan Rozita yang kini sudah kembali bergelar isteri orang.
“Sudah lama tidak berjumpa dengan bonda saya. Sejak isu ini hangat, saya memilih untuk berdiam diri dan tidak berjumpa.
“Lagi pula tak mahu menganggu orang tengah darah manis tapi percaturan Allah SWT itu besar, kami bertemu di hari sukan sekolah anak. Kebetulan adik saya juga bersekolah di tempat sama.
“Tak akan saya nak lari daripada bertemu mak saya. Jadi, saya mengalah,” katanya dalam satu hantaran TikTok semalam.
Ujar Aliff, pertemuan dengan Rozita itu sekali gus melenyapkan segala persoalan dan menepis semua kata-kata negatif netizen yang mendakwa hubungan mereka renggang.
Dia bahkan menitipkan penghargaan kepada mana-mana pihak yang terus mendoakan kebahagiaan keluarganya.
“Pertemuan ini merungkai segala-galanya dan emosi sudah dibuang ke tepi.
“Mana ada keluarga yang bahagia sahaja. Kita sebagai anak sebenarnya kena banyak mengalah, bersabar dan berdiam.
“Alhamdulillah ada manis di penghujungnya, terima kasih. Doa kalian yang sentiasa mendoakan keluarga kami bahagia, saya sangat hargainya,” ujarnya lagi.
Menerusi video tersebut, Aliff yang ditemani isterinya, Datin Seri Shahida dan anak-anaknya bersalaman serta memeluk Rozita
Sebelum ini, kemelut keluarga mereka tercetus apabila adik ipar Rozita iaitu pelakon Rebecca Nur Al Islam membidas kenyataan Shahida dan menggelarkan wanita sebagai mak cik bodoh dan bermulut jahat gara-gara menegur perbuatannya yang suka berkongsi perihal ibu mentuanya dalam media sosial.
Selepas saling berbalas kenyataan, Rozita akhirnya bersuara dan menyifatkan Shahida adalah menantu terbaik dan sudah dianggap sebagai sahabat baiknya.
Rebecca pula memilih untuk memadam semua hantaran media sosial berkaitan isu tersebut selepas dinasihati oleh abangnya iaitu suami Rozita.
Terdahulu, Rozita mengesahkan sudah bernikah dengan Khairul pada Mac lalu selepas memuat naik foto bersama di Tanah Suci bagi menunaikan umrah. – HIBGLAM