Majlis kahwin tanpa VIP, Irdina Hakim tiru kesederhanaan arwah ibu

DALAM suasana penuh syahdu dan sederhana, anak kepada usahawan kosmetik, Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad, Irdina Hakim Jasman selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan, Farez Zuhaily.

Majlis pernikahan yang berlangsung di kediaman arwah ibunya pada 25 April lalu itu menyaksikan kehadiran hampir 5,000 tetamu termasuk ahli keluarga terdekat, saudara-mara, pengguna setia produk serta kenalan rapat pasangan mempelai.

Tidak hanya menjadi sorotan kerana status Irdina sebagai waris empayar kosmetik ternama, tetapi pendekatannya memilih majlis kenduri di rumah turut mengundang pujian ramai.

“Walaupun dia mampu buat majlis gah di hotel lima bintang, tapi keluarga pilih buat di rumah arwah ibunya saja. Itu yang buat saya terharu,” kata pempengaruh terkenal, Izmer Mustapha atau lebih dikenali sebagai Abang Lal Senok Perut menerusi satu hantaran dalam Facebook.

Menurut Izmer, sikap keluarga pengantin menjemput tetamu tanpa mengira darjat juga wajar dijadikan contoh.

“Beliau jemput semua orang. Tak ada konsep VIP, Datuk atau Datin. Layanan pun semua sama rata.

“Itu baru majlis yang berkat. Saya bangga tengok cara mereka,” ujarnya.

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa kagum melihat nilai kesederhanaan dalam majlis tersebut.

“Macam ni baru betul. Yang support bisnes ni kebanyakannya orang biasa,” tulis netizen.

“Orang tahu hukum hakam Islam memang tak beza-bezakan para tetamu,” komen pengguna media sosial.

Malah, ramai menyatakan wajah Irdina persis arwah ibunya dan menyifatkan kehadiran pengantin perempuan pada hari bahagia itu seakan-akan ‘menghidupkan’ kembali kenangan bersama Faziani.

Foto dan video majlis berkenaan kini tular di media sosial dan menerima ribuan tanda suka daripada netizen. – HIBGLAM.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok