PENYANYI dan komposer Amylea Azizan, 39, mengakui terkilan apabila bakat segelintir pengkarya muzik di Malayisa masih dipandang enteng.
Berdasarkan pengalaman sendiri, Amylea berkata, ada pihak yang masih terperangkap dalam zaman dia menjadi peserta Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).
“Bila saya buat ‘live’ dalam media sosial, akan ada yang bertanya dah lama tak nampak saya menyanyi sejak AF3. Sedangkan saya aktif sahaja selepas tamat AF3 hingga sekarang.
Sudah berpuluh-puluh lagu yang saya hasilkan sejak 17 tahun lalu. Saya punya kalatog dan profil yang bagus untuk diceritakan. Kenapa masih bertanya tentang saya sewaktu berusia 18 tahun dulu?
“Disebabkan perkara ini jugalah kadang kala saya rasa takut untuk menonjolkan diri ke depan. Ini kerana orang masih melihat saya sebagai Amylea AF3,” katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Studio Village, semalam.
Pernah beraksi dalam Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL) menerusi lagu Tak Pernah Hilang, kata Amylea kini pentas besar itu bukan lagi menjadi impian utamanya.
“Ramai bertanya bila lagi saya nak ke AJL. Sejujurnya, AJL bukan lagi segalanya untuk saya sekarang.
Ramai lagi penulis lagu yang merasakan bahawa mereka tidak dihargai selayaknya sewaktu mereka masih hidup. Mungkin situasi ini akan terjadi kepada saya satu hari nanti.
“Bila saya sudah tak ada, baru orang akan hargai. Tetapi bila saya fikirkan semula, bakat yang Allah bagi pada saya hanyalah pinjaman. Bila saya mati nanti, apa yang tinggal di dunia nanti pun bukan saya yang punya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, untuk melangkah ke pentas AJL juga memerlukan modal yang banyak.
“Untuk memperjuangkan sesuatu lagu hingga mara ke pentas AJL anda perlukan modal yang cukup. Persembahan di AJL sekarang sangat lain. Kalau tak ada modal besar, macam mana nak buat persembahan yang gah.
Rasanya saya tidak berkemampuan kerana saya pengkarya bebas. Saya belum mampu untuk menghabiskan berpuluh ribu untuk satu persembahan.
“Tetapi kalau lagu yang saya tulis untuk artis lain, saya akan sokong apa sahaja yang mereka lakukan kerana mereka ada syarikat rakaman yang mampu untuk ‘push’ lagu itu,” – HIBGLAM