11 tahun berjubah hitam pagi raya, tak bersolek

JIKA orang lain seronok melaram baju raya baharu di pagi 1 Syawal, lain pula kisahnya pelakon berkulit hitam manis, Shiqin Kamal.

Sejak kematian bonda tercinta 11 tahun lalu, pelakon yang memulakan debut dalam dunia lakonan menerusi filem Lagenda Budak Setan itu lebih selesa berjubah hitam.

Menurut Shiqin atau nama lengkapnya Nur Ashiqin Mohd Kamal, 34, sambutan Syawal keluarganya tidak semeriah orang lain.

Sejak kehilangan ibu, sambutan raya saya biasa-biasa sahaja. Raya pertama boleh dikatakan separuh hari sahaja saya beraya. Pagi ke masjid sembahyang raya, kemudian ke kubur, bersalam-salaman dan makan-makan. Itu sahaja.

“Soal pakaian pula memang setiap tahun saya pakai jubah hitam pada hari raya pertama. Melainkan kalau ada majlis pada hari-hari berikutnya saya akan beli baju raya,” katanya.

AIDILFITRI seakan hilang seri bagi Shiqin sejak pemergian ibu tercinta 11 tahun lalu.

Disebabkan berjubah hitam pada hari raya, Shiqin tidak berkongsi foto dengan orang lain.

“Kawan-kawan selalu minta kongsi foto pakai baju raya. Memang saya tak akan kongsi kerana setiap tahun saya pakai jubah yang sama sahaja. Wajah pun tak bersolek.

Biarpun bergelar artis, saya juga manusia biasa. Sejak arwah ibu tak ada saya macam tak ada mood nak beraya.

“Saya pula anak bongsu daripada tujuh beradik. Jadi kehilangan ibu sangat dirasai. Mungkin bila saya dah berkahwin nanti, situasi ini akan berubah,” kongsinya.

Shiqin juga mengakui tidak kisah seandainya terpaksa bekerja pada hari raya kerana dengan cara itu dia dapat melupakan  segala kesedihan dan rasa rindu yang terbuku di hati.

Saya sudah terbiasa menggunakan kerja sebagai alasan untuk redakan rasa sedih. Jadi jika diberi peluang untuk bekerja pada hari raya saya okey sahaja.

“Penerbit pun ada tanya nak cuti berapa lama untuk sambut raya. Saya cakap dua hari pun dah cukup. Hari pertama beraya dengan kakak-kakak dan hari kedua untuk kemas rumah,” jelasnya.

Biarpun tanpa kehadiran ibu di sisi, Syawal Shiqin tidak pernah sunyi dengan kehadiran 17 anak saudara.

Lebih istimewa apabila tahun ini dia ‘naik pangkat’ menjadi nenek memandangkan anak saudaranya baharu menimang cahaya mata.

Tahun ini saya sudah ada cucu saudara yang usianya baru beberapa bulan. Kita kahwin pun belum wak tapi dah ada cucu,” kongsinya yang belum menetapkan gelaran panggilan untuk cucu saudaranya.

Perkembangan lain, Shiqin bakal menjalani penggambaran sebuah filem dengan memegang watak sebagai penyelam di Terengganu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok