10 minit sahaja doa Acha Septriasa makbul

DOA dimakbulkan, pelakon Acha Septriasa tidak menyangka keinginan membintangi naskhah keagamaan yang diluahkan usai solat asar terus mendapat izin Allah dalam tempoh hanya 10 minit.

Acha atau nama sebenarnya Jelita Septriasa, 36, berkata, panggilan telefon daripada pengarah filem Qodrat 2, Charles Gozali mengejutkannya sekali gus menunjukkan kebesaran Ilahi.

“Waktu itu saya bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah agar diberikan tawaran lakonan yang baik dan kalau boleh biarlah projek itu dapat mendekatkan saya kepada-Nya.

“10 minit kemudian doa saya dijawab apabila mendapat panggilan telefon daripada Charles tentang pembikinan Qodrat 2.

“Dalam kebingungan, saya seperti tidak percaya kerana baru sahaja berdoa dan Allah telah mengabulkan permintaan itu. Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui selepas tayangan perdana Qodrat 2, di TGV KLCC, malam tadi.

Kedatangan Acha mempromosikan filem lakonannya di Kuala Lumpur turut ditemani pemeran watak ustaz yang melawan gangguan iblis iaitu Vino G. Bastian selaku Qodrat.

Biarpun menetap di Sydney, Australia, Acha yang teruja terus menerima tawaran berkenaan dan bergegas pulang ke Jakarta, Indonesia bagi menjalani penggambaran.

Acha bahkan terharu apabila dimaklumkan namanya menjadi pilihan pertama penerbit dan pengarah bagi membawakan watak isteri kepada Qodrat, Azizah sehingga tidak perlu menjalani uji bakat.

“Ketika sampai di Jakarta, semua pelakon dan produksi sudah memulakan latihan lebih awal, tetapi itu bukan masalah kerana mereka semua memberikan kerjasama padu.

“Lebih mengharukan apabila Charles turut menyatakan dia dan semua yang berada di meja perbincangan untuk mencari watak Azizah secara serentak terfikirkan saya sebagai pelakon yang sesuai,” ujarnya.

Tidak berhenti bersyukur, filem horror yang menyelitkan elemen keagamaan itu akuinya mendekatkan lagi dirinya dengan Allah selain memberi peluang kepadanya belajar agama terutama memperbaiki cara solat.

“Pastinya solat taubat iaitu antara babak penting dalam filem ini membolehkan saya lebih memahami bacaan ayat suci kerana sebelum ini ketika sembahyang saya baca tanpa memahami maksudnya .

“Karakter Azizah cukup dekat dengan saya kerana saya juga mahu kehidupan yang diberkati serta memperbaiki amalan. Filem ini banyak mengajar saya,” katanya.

Karya kerjasama antara Magma Entertainment, Rapi Films serta Astro Shaw itu bakal ditayangkan di Malaysia bermula 17 April ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok