Warner Music Malaysia, Finas bersatu bikin OST filem

TAHUN 2024 merupakan tahun pencapaian bermakna bagi Warner Music Malaysia (WMM) apabila menunjukkan kepimpinan melalui inisiatif inovatif, perkongsian strategik dan tumpuan kuat terhadap pembangunan artis.

Tahun lalu bahkan menyumbang secara signifikan terhadap lanskap muzik Malaysia yang sedang berkembang.

Tidak hanya mahu mendabik dada dalam pencapaian 2024, WMM turut mengorak langkah menerusi kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) membekalkan lagu runut bunyi (OST) kepada filem-filem lokal.

Menurut Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Dinesh Ratnam, Finas perlu membentangkan genre dan jalan cerita sebelum pihaknya memilih artis sesuai untuk menyanyikan lagu tema filem atau OST.

“Sekarang ini, kami masih dalam fasa awal. Objektifnya, pertama kami nak pilih filem berkualiti untuk dibawa ke peringkat antarabangsa.

Mereka akan kongsikan jalan cerita dan genre. Kami akan fikir, bagaimana kami boleh masukkan lagu atau artis yang sesuai.

“Satu kelebihan bekerjasama dengan Warner Music, kami memang ada rangkaian global.

Contohnya, kalau sasarkan pasaran Indonesia untuk promosikan filem ini, saya pastikan dapat pandangan pasukan kami dari Indonesia.

“Jadi, saya akan perkenalkan filem kepada mereka dan sebagainya. Kalau untuk pasaran negara lain pun, kita gunakan kaedah sama,” katanya.

PENGARAH Urusan Warner Music Malaysia, Dinesh Ratnam membentangkan fokus syarikat tersebut untuk tahun 2025.

Dalam masa sama, Dinesh memaklumkan bahawa banyak idea yang mahu dilakukan berkaitan strategi pemasaran filem menggunakan OST.

“Apa yang kami lakukan adalah menggunakan lagu OST itu sebagai sebahagian rangka pemasaran filem. Contohnya kami lancarkan ‘teaser’ lagu OST dalam media sosial.

Mungkin boleh bekerjasama atau artis Warner Music dari negara lain buat versi ‘cover’ (lagu saduran) untuk promosi.

“Jadi, apabila filem itu dah ditayangkan, kita dah ada satu prapemasaran,” ujarnya lagi.

Sebagai langkah awal, pihak WMM bekerjasama dengan Metrowealth Pictures dalam OST filem Dajal: Satu Malam Dipedajal menerusi lagu Di Kala Malam nyanyian Zynakal.

Menurut Dinesh, filem genre seram agak sukar mencari lagu sesuai tetapi mereka berjaya melakukannya apabila penerbit iaitu David Teo menyukai karya tersebut.

Berbanding filem bergenre drama, genre seram susah untuk mencari lagu yang sesuai dijadikan OST tetapi apabila David Teo cakap dia suka lagu ini, dia rasa memang sesuai.

“Ini adalah projek pertama dan mungkin selepas ini kami akan ada lagi projek seterusnya,” tutupnya. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok