DATA menunjukkan pada 2040, lebih 20% populasi negara akan terdiri daripada golongan warga emas. Sebagai golongan yang sering berdepan dengan masalah kesihatan, adalah amat penting untuk warga emas mengekalkan gaya hidup aktif, terutamanya melalui senaman.
Usia yang lanjut dan tahap kesihatan yang semakin merosot bukan alasan untuk mengelak bersenam. Hal ini kerana, bersenam bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan fizikal tetapi turut memberikan banyak manfaat psikologi dan sosial.
Menurut pakar kecergasan, fisioterapi dan pemulihan, Dr. Faizi Rosli, penuaan bukan alasan untuk berhenti bergerak aktif.
“Tanggapan ini sebenarnya tidak tepat. Dengan pendekatan yang betul, warga emas bukan sahaja dapat menguatkan tubuh badan tetapi juga memperbaiki keseimbangan dan meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

Dr. Faizi menggalakkan warga emas bersenama dan banyak bergerak.
Dr. Faizi menegaskan bahawa senaman yang dilakukan secara selamat dan bersesuaian mampu membantu warga emas menjalankan aktiviti harian dengan lebih mudah serta mengurangkan risiko jatuh.
Meskipun ramai warga emas mengalami masalah ortopedik seperti osteoarthritis, patah tulang, masalah sendi dan osteoporosis, komplikasi ini sebenarnya boleh dikurangkan melalui program senaman yang sesuai.
Berikut adalah beberapa sebab mengapa warga emas di Malaysia perlu bersenam.
Menambah kekuatan dan daya tahan badan
Semakin meningkat usia, secara semula jadi tubuh akan mengalami penurunan kekuatan otot dan kepadatan tulang. Ini boleh menyebabkan masalah seperti ketumpatan tulang yang rendah, kelemahan otot dan risiko patah tulang. Bersenam secara teratur dapat meningkatkan kekuatan otot, mengurangkan kehilangan jisim otot dan memperbaiki ketahanan tubuh terhadap kecederaan. Aktiviti senaman ringkas seperti berjalan atau regangan dapat membantu memperbaiki keadaan ini.
Meningkatkan keseimbangan dan koordinasi
Salah satu kebimbangan terbesar yang dihadapi oleh warga emas adalah risiko jatuh. Kehilangan keseimbangan boleh menyebabkan kecederaan serius dan mengurangkan kualiti hidup.
Mengurangkan risiko penyakit kronik
Senaman mempunyai kesan positif dalam mengurangkan risiko beberapa penyakit kronik yang biasa dihadapi oleh warga emas, seperti penyakit jantung, diabetes jenis 2, darah tinggi, hipertensi dan dementia. Aktiviti fizikal yang teratur membantu memperbaiki peredaran darah, mengawal paras gula dalam darah serta menurunkan tekanan darah.
Meningkatkan kesihatan mental
Masalah kesihatan mental, seperti kemurungan dan kecemasan, semakin kerap berlaku dalam kalangan warga emas, terutama apabila mereka rasa kesunyian kerana tidak lagi aktif seperti waktu muda. Senaman telah terbukti meningkatkan pengeluaran endorfin, iaitu hormon kebahagiaan yang membantu melawan rasa tertekan dan kemurungan
Meningkatkan mobiliti
Senaman meningkatkan fleksibiliti dan pergerakan badan membolehkan warga emas untuk kekal aktif dalam kehidupan seharian mereka. Aktiviti senaman mengikut tahap keupayaan warga emas dapat memudahkan mereka untuk melakukan tugas harian seperti mendaki tangga dan menguruskan diri sendiri. Dengan peningkatan mobiliti mereka dapat mengurangkan kebergantungan kepada orang lain dan menikmati kehidupan lebih bebas.
Meningkatkan sosial dan in interaksi komuniti
Bersenam juga memberi peluang kepada warga emas untuk berinteraksi dengan orang lain dalam suasana sosial yang positif. Aktiviti fizikal atau bersenam secara berkumpulan dapat mengeratkan hubungan dan memberikan sokongan emosi serta motivasi.
Oleh yang demikian, warga emas di Malaysia perlu mengubah persepsi bahawa senaman bukan hanya untuk orang muda sahaja. Dengan sokongan yang betul dan penyertaan dalam aktiviti yang sesuai, warga emas dapat menikmati kehidupan lebih lama dan sihat.
Justeru, amat penting bagi warga emas di Malaysia untuk mengamalkan senaman secara berkala sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka. – HIBGLAM