[VIDEO] Terlalu hayati watak, Fattah Amin terpeluk kaki pelakon wanita

DISEBABKAN terlalu menghayati watak, aktor Fattah Amin mengaku tidak sengaja memeluk kaki pelakon wanita iaitu Melissa Campbell dalam drama Keluarga Itu.

Dalam salah satu babak yang dipaparkan, Fattah yang melakonkan watak sebagai Ansara cuba merayu isterinya iaitu Melissa agar tidak meninggalkannya sehingga meruntun kaki wanita itu.

Menurut Fattah atau nama lengkapnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, perkara tersebut terjadi disebabkan  terlalu mendalami watak sebagai suami yang ditinggalkan isteri.

“Saya kalau boleh memang nak elak watak atau aksi yang berlebihan. Ketika saya lakonkan babak itu saya berada dalam keadaan separa sedar. Saya terbuat kerana terlampau mendalami watak.

“Kalau boleh memang saya tak nak buat. Saya nak cuba elakkan. Kadang-kadang sebagai pelakon kita terlalu menjiwai.

“Tetapi saya mengaku kesilapan saya. Saya pun manusia biasa yang cuba untuk menjadi hamba Allah yang baik, muslim yang baik dan pelakon yang baik,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Tambah pelakon yang bakatnya dicungkil menerusi pertandingan Pencarian Hero Remaja 2013 itu lagi, dia ada berbincang tentang skrip dengan Melissa tetapi lakonan yang dipaparkan terjadi secara semula jadi.

Terdahulu babak lakonan diantara Fattah dan Melissa mendapat komen kecaman daripada netizen kerana dikatakan bercanggah dengan imej lelaki baik yang sinonim dengan Fattah.

Drama Keluarga Itu yang dibarisi oleh pelakon handalan seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Paduka Umie Aida, Puteri Balqis, Izara Aishah, Amir Ahnaf dan Muaz Zabir kini sedang hangat ditayangkan di TV3 setiap Jumaat hingga Ahad pukul 9 malam. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok