TULAR dalam media sosial babak panas antara dua pelakon disegani, Vanidah Imran dan Faizal Hussein dalam drama Bidaah yang ditayangkan dalam platform penstriman Viu.
Dalam babak tersebut, Vanidah yang memegang watak sebagai Ummi Rabiatul berbaring di atas katil dilihat menyentuh janggut Faizal Faizal Hussein sebagai Walid Muhammad menggunakan kakinya.
Video babak tersebut telah mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa kecewa dan jijik dengan adegan tersebut yang ditayangkan pada bulan Ramadan.
Semakin berani drama Melayu sekarang. Meremang tengok. Hilang rasa malu, tak takut dosa. Tolonglah buat cerita yang mendidik jiwa menjadikan masyarakat berakhlak mulia. Banyak isu masyarakat yang boleh diketengahkan selain babak begini,” komen netizen.
Ada juga netizen yang mula mempersoalkan karya Erma Fatima yang dikatakan sering menyelitkan unsur lucah dan watak penunggang agama dalam kebanyakan drama terbitannya.
Erma Fatima ni asyik buat cerita tentang penunggang agama. Apa motif dia sebenarnya? Apa masalah dia sebenarnya? Nak gambarkan Islam ni teruk ke? Sedangkan banyak lagi isu yang boleh diketengahkan,” komen seorang lagi netizen.
Selain babak panas atas katil, satu lagi babak panas turut menjadi bualan ramai iaitu babak Fazlina Ahmad Daud minum air basuhan kaki Faizal Hussein.
Bidaah yang mula ditayangkan dalam platform penstriman Viu Malaysia pada 6 Mac lalu diarahkan Pali Yahya dan diterbitkan oleh produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.
Drama ini mengisahkan Hambali (Fattah Amin) cuba membenteras ajaran sesat diketuai Walid Muhammad yang mengaku dirinya merupakan jelmaan Imam Mahdi.
Selain Vanidah, Faizal dan Fattah, drama itu turut dibintangi Riena Diana, Fatiya Latiff, Fazlina Ahmad Daud dan Marissa Yasmin. – HIBGLAM