PETAH berbicara, penyanyi yang juga anak kepada usahawan kosmetik Datuk Aliff Syukri iaitu Qadejah, 15, mendedahkan bapanya melatih cara berinteraksi di hadapan kamera dan pihak media sejak kecil.
Menurut Qadejah, perkara tersebut membuatkan dia tidak kekok untuk beraksi di hadapan kamera meskipun pada awalnya berasa malu.
Saya seronok sebenarnya. Walaupun saya yakin dengan diri sendiri, namun bila orang mula puji, ada juga rasa segan.
“Tapi, sejak kecil memang sudah dilatih ayah didedahkan dengan YouTube serta media sosial,” katanya.
Disebabkan kepetahannya, Qadejah juga tidak kisah dilabel sebagai Aliff Syukri 2.0 bahkan menganggap itu sebagai satu pujian.
“Apabila berjumpa dengan media, abah memang sudah ajar perlu cakap benda yang betul tetapi tetap kena beradab.
Dia cakap, kalau jawab soalan pun jangan lambat sangat. Cikgu-cikgu dia sekolah pun tahu saya memang suka bercakap.
“Kalau orang gelar sebagai Aliff Syukri 2.0, saya okey sahaja. Itu pun memang abah saya,” katanya yang tidak menolak untuk terlibat dalam bidang seni sekiranya diberikan peluang.
Mutakhir ini, gelagat Qadejah yang juga anak kedua Aliff dan Shahida kerap mencuri perhatian ramai dalam media sosial.
Rata-rata memuji kepetahannya yang dikatakan matang dan boleh diketengahkan untuk menjadi pengacara satu hari nanti. – HIBGLAM