HAMPIR mustahil ada pencinta dunia hiburan tidak mengenali figura anggun bernama Nora Danish.
Pesonanya tidak pernah pudar, malah semakin bersinar dengan keindahan baharu yang mewarnai hidupnya. Kemasyhuran dan kestabilan hidup bukan lagi satu perjudian.
Bertahun-tahun bertapak dalam industri, namanya tetap relevan, terus menjadi inspirasi ramai, bukan sekadar kerana bakat, tetapi juga kerana transformasi diri yang kian mendekatkan diri kepada Ilahi.
Andai diminta menyebut nama selebriti yang penghijrahannya paling mencuri perhatian, jawapannya tentulah Nora Danish.
Tidak secara drastik, bukan juga dengan memakai purdah atau bersara dari dunia hiburan, tetapi caranya lebih lembut, penuh hikmah.
Pertama kali menyambut bulan suci dengan penampilan berhijab sepenuhnya, pemilik nama Nora Mohd. Danish Hanif itu bersyukur kerana diberi hidayah untuk berubah.
“Saya sangat bersyukur kerana dipilih Allah SWT untuk menerima hidayah.
“Walaupun usia sudah meningkat, saya tetap diberikan peluang untuk berhijrah dan mendekatkan diri kepada-Nya.
“Alhamdulillah, tahun ini saya dapat merasakan indahnya menyempurnakan aurat sebagai wanita. Ramadan terasa lebih sempurna,” katanya kepada HibGlam.
Tidak mahu membiarkan bulan mulia berlalu tanpa manfaat, heroin filem Polis Evo itu memasang azam untuk khatam al-Quran dalam tempoh 15 hari.
“Saya sentiasa berdoa agar Allah memberikan saya kelapangan masa. Saya mahu khatam al-Quran, insya-Allah.
“Saya juga akan sertai tadarus selama 15 hari. Insya-Allah, kami akan berjaya khatam al-Quran. Selebihnya, saya mahu lebihkan masa bersama keluarga,” ujarnya.
Walau sudah bertekad, Nora tidak mahu khalayak meletakkan ekspektasi terlalu tinggi terhadapnya. Dia sedar, perubahan perlu dilakukan secara berperingkat agar lebih istiqamah.
“Itulah yang agak stres. Bila kita sudah berhijab, harapan orang jadi lebih tinggi. Mereka inginkan kita berubah sepenuhnya dalam sekelip mata.
“Tapi saya percaya, perubahan perlahan-lahan lebih baik. Saya tak mahu tergesa-gesa kerana takut terlalu banyak input sehingga membebankan diri. Ustaz dan ustazah yang membimbing saya juga berpesan supaya ambil satu langkah pada satu masa.
“Saya belajar, hadam dan praktikkan sedikit demi sedikit. Ini perjalanan jangka panjang,” ujarnya penuh makna.
Sebelum Ramadan, Nora sempat menunaikan umrah. Berbeza dengan pengalaman terdahulu, kunjungan kali ini terasa lebih manis, kian mendalam kerana dilakukan dengan ilmu dan hati yang sarat kecintaan kepada Ilahi.
“Umrah kali ini sangat berbeza daripada sebelum ini. Saya pernah pergi tiga kali, ada yang atas urusan kerja, ada juga dengan keluarga.
“Tetapi kali ini, apabila telah berhijrah, saya memahami lebih banyak perkara. Saya pergi dengan hati yang benar-benar mencintai Allah dan Rasul.
“Walaupun penuh sesak dengan jemaah dari seluruh pelosok dunia, saya tetap rasa seronok. Semua datang dengan tujuan sama, mencari reda Allah. Saya bersyukur kerana dijemput oleh-Nya pada saat saya sudah berhijrah. Pengalaman ini akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya penuh rasa syukur.