SEINDAH mana pun kilauan labuci di baju raya, seberapa banyak juadah lazat membuka selera, tidak lengkap semuanya seandainya tiada soalan jodoh mengisi perbualan setiap kali bersapa dengan sanak-saudara.
Itulah hakikat yang harus ditelan pelakon Nadia Brian setiap kali Syawal menjelang.
Selagi status janda digalas, selagi itulah harus dia mendepani soalan cepu emas tanpa henti seolah-olah wanita boleh mati andai hidup tanpa lelaki berstatus suami.
Sudah lali apatah lagi mahu berkecil hati dengan pertanyaan sedemikian, pemilik nama sebenar Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu menegaskan fokusnya cuma karier malah sudah cukup bahagia dikelilingi keluarga tercinta.
Baginya, seindah Syawal adalah saat dia berada dalam pelukan keluarga tersayang, dikelilingi mereka yang benar-benar memahami dan menyayangi dirinya tanpa syarat.
“Sebenarnya saya sangat sibuk dengan kerja. Raya tahun ini masih sama seperti sebelumnya, masih sendiri dan bahagia begini. Keluarga sudah lebih cukup buat Syawal saya sempurna.
Macam biasa juga, saya memang akan sentiasa ambil cuti ketika raya untuk meraikan Aidilfitri berhabis-habisan dengan keluarga sebelum kembali beraksi di set penggambaran.
“Tahun ini memang agak sibuk dengan penggambaran baik drama, filem mahupun teater tetapi raya tetap kena all out,” katanya kepada HibGlam.

NADIA mahu cipta kenangan bersama keluarga dengan melakukan pelbagai aktiviti lebaran ini.
Mungkin ada yang menyangka si Ratu Kala Jengking itu serik untuk melangkah semula ke alam perkahwinan, tetapi hakikatnya dia tidak pernah menutup hati untuk cinta.
Cumanya, dia enggan terburu-buru mencari pasangan hanya kerana desakan orang. Baginya, cinta sejati bukan tentang mencari seseorang untuk mengisi ruang kosong, tetapi menemukan insan yang benar-benar melengkapi jiwa.
“Ingat senang ke nak cari pasangan hidup? Ini bukan macam beli sayur di pasar, pilih-pilih, timbang-timbang, terus bayar dan bawa balik. Kalau semudah itu, sudah lama saya kahwin.
Saya juga tidak mahu berkahwin hanya kerana tekanan atau mahu memenuhi jangkaan orang lain.
“Saya sedang dalam fasa belajar daripada pengalaman dan memperbaiki diri. Saya percaya jodoh itu sudah tertulis, cuma masanya belum tiba,” ujarnya.
Sibuk mencatur karier yang tidak pernah surut tawaran, timbul juga desas-desus mendakwa dirinya kini didekati individu (lelaki) berstatus ‘kayangan’.
Terkejut, wanita kelahiran Kangar, Perlis itu segera menepis segala tuduhan yang entah dari mana hujung pangkalnya itu.
“Saya sendiri terkejut dan tidak tahu dari mana cerita itu datang.
Saya berkawan dengan ramai orang, tetapi tidaklah sehingga seperti yang didakwa. Setakat ini, tiada yang istimewa,” ujarnya mematikan spekulasi.
Biarpun hatinya belum berpunya, aktres berusia 33 tahun itu tetap ternanti-nantikan satu keindahan hanya dirasai pada malam raya iaitu momen manis bersama keluarga dan anak-anak saudaranya.
Saya suka buat aktiviti dengan anak buah, bergambar, buat biskut raya, main bunga api. Kita cipta kenangan yang boleh diabadikan sampai bila-bila.
“Keluarga saya pun sudah tahu, setiap kali raya mereka kena bersedia melayan kerenah saya yang suka bergambar. Kenangan ini sangat berharga, bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri sendiri,” tutupnya.
Dalam perkembangan lain, Nadia baru sahaja selesai penggambaran naskhah terbaharu dibintanginya berjudul Puteri Katak bergandingan bersama Mustaqim Bahadon dan Azrel Ismail yang akan ditayangkan tidak lama lagi. – HIBGLAM