‘Sky trauma, mohon beri semangat kepada kami’

USAHAWAN dan pempengaruh media sosial Ridzuan Ridzokumura meminta orang ramai berhenti menyebarkan spekulasi tidak benar tentang kematian arwah isterinya, Akiko Akimura yang disahkan maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya, Selangor pagi Jumaat lalu.

Ingin menghentikan khabar angin negatif, Ridzuan menceritakan detik cemas ketika dia melihat jenazah Akiko.

“Seperti biasa Sky akan mandi untuk ke sekolah dan lepas selesai semua, saya pelik pakaian Sky tak disiapkan oleh arwah seperti selalu.

Kemudian saya lihat di meja makan tiada sarapan dan saya keliru kenapa tidak disiapkan. Ketika itu sudah rasa tidak sedap hati.

“Selepas itu, saya tengok tingkap bilik sudah terbuka sebelum saya berlari ke bilik air bilik utama dan panjat kemudian nampak arwah di bawah,” katanya dalam siaran langsung TikTok.

Bercerita lanjut, dia mengakui tidak berani untuk menggerakkan badan arwah kerana bimbang sekiranya terdapat bahagian yang patah atau cederau

Ujar Ridzuan lagi, dia juga sempat menghubungi anak saudaranya, pelakon Zarina Zainuddin bagi membantu semua perkara yang berlaku.

“Arwah jatuh di tanah dalam keadaan meniarap dan saya terus gerakkan badan dia supaya bangun.

Namun, saya tak mahu alihkan muka arwah takut dia masih bernyawa atau bahagian badan ada yang patah. Kemudian saya lari ke atas untuk ambil kain tuala untuk tutup badan arwah yang ketika itu pakai baju tidur.

“Tidak lama kemudian, ambulans sampai dulu barulah polis. Mereka sahkan Akiko sudah tiada.

Ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu isi hati ini macam mana dan keadaan arwah. Sebelum nak puasa dia ada beritahu nak kemas macam-macam dan tak tahu adakah punca sebab nak kemas itu atau apa.

“Polis juga ada minta saya untuk lihat keadaan mayat arwah tetapi saya beritahu tak boleh lakukannya,” kongsinya.

Paling membuat hatinya hiba ialah melihat keadaan emosi anak lelakinya, Sky Taizo Okumura, 13, yang masih dalam keadaan trauma selepas menyaksikan kematian ibunya.

Dia bagaimanapun berharap orang ramai terus memberi semangat dan doa kepadanya serta Sky agar kuat mendepani ujian tersebut.

Sky pula menangis, sekejap dia boleh terima sekejap tidak. Sampai ke hari ini, Sky masih trauma dan saya risau dia ke sekolah nanti orang akan cakap macam-macam.

“Kepada semua yang sudah tahu cerita sebenar, berilah semangat kepada saya dan Sky.

“Apa pun saya tetap bersyukur dia pergi pada hari Jumaat, beberapa sebelum bulan Ramadan.

Isteri saya tiada dosa dengan orang. Tiada kawan tiada dosa. Dia isteri yang betul-betul beri perhatian kepada saya dan Sky,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Ridzuan menggesa orang ramai tidak lagi membuat sebarang andaian tidak benar selain menegaskan semua konten yang dilakukan termasuk selepas pemergiaan arwah isterinya adalah untuk disimpan sebagai memori.

Saya minta sangat, cukup kata Akiko begitu begini. Saya menahan rasa dan Tuhan sahaja yang tahu.

“Macam-macam orang buat spekulasi, saya sudah tidak tahan dan sebab itu saya perlu cerita perkara sebenarnya apa yang berlaku pada malam tersebut.

Saya bukan nak buat konten dengan Sky atas niat lain. TikTok dan semua media sosial ibarat album gambar, setiap perkara itu adalah memori saya.

“Kalian semua kena tahu perkara ini sebab sudah terlalu banyak yang diperkatakan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan isteri kepada Ridzuan iaitu Akiko Okumura telah meninggal dunia pada 28 Februari 2025.

Pada 4 Mac lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan wanita warga Jepun yang maut terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya, pagi Jumaat lalu adalah isteri kepada usahawan dan pempengaruh, Ridzokumura.

Bagaimanapun, pihak polis memaklumkan tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok