Sertai ‘perang’ lagu raya, Soma tiada gimik

MELUNCURKAN lagu raya ketika ramai penyanyi popular lain sedang ‘berperang’ melakukan hal sama adalah satu keputusan yang berani.

Itu risiko yang diambil penyanyi Rosmah S. Sengari Basar atau nama pentasnya Soma apabila tampil dengan lagu raya Aku Tetap Raya.

Katanya, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk memiliki lagu raya sendiri terutama selepas meluncurkan album mini solonya pada tahun lalu.

“Dalam kamus kerjaya seni, saya memang nak ada lagu raya sendiri.

Saya amat berterima kasih kepada komposer lagu ini iaitu Belle Fattah dan Adinda Amiro kerana sudi menghasilkannya.

Saya juga menyumbang idea untuk bahagian lirik.

“Harapnya lagu ini akan mendapat perhatian dan sokongan yang baik daripada peminat muzik di Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran Aku Tetap Raya baru-baru ini.

TIGA dekad dalam industri, tahun ini Soma mengenepikan segala sentimen apabila memberanikan diri hadir dengan sebuah lagu raya bertajuk Aku Tetap Raya. – ISKANDAR ISHAK

Soma dalam masa sama menegaskan tiada istilah persaingan dengan penyanyi lain yang turut melancarkan lagu raya pada tahun ini.

Saya tidak bersaing dengan mana-mana penyanyi, memiliki lagu raya memang keinginan sendiri.

“Setiap lagu mempunyai keistimewaan tersendiri dan saya yakin Aku Tetap Raya akan ada peminatnya sendiri,” ujarnya.

Bercerita tentang jalan cerita lagu tersebut, Aku Tetap Raya berkisarkan suasana hari raya yang disambut meriah di kampung halaman.

Istimewanya, Soma turut memasukkan elemen masyarakat majmuk seperti kaum Cina dan India dalam video muziknya.

“Lagu ini tentang pengalaman saya bersama rakan-rakan dan ahli keluarga menyambut hari raya di kampung halaman.

Kalau dengar melodi lagu ini, ada banyak elemen yang kami masukkan. Lagu ini kedengaran sangat ‘universal’, sangat sesuai kalau dinyanyikan dengan bahasa lain juga.

“Kami memang sengaja buat melodi sebegitu ditambah pula zaman sekarang sukar nak dapatkan lagu raya yang memang ketengahkan irama tradisional,” katanya lagi.

“Apa pun, saya gembira kerana diberi peluang muncul lagu raya sendiri pada hari raya tahun ini,” ujarnya lagi.

Dalam muzik video Aku Tetap Raya, Soma turut menampilkan beberapa selebriti terkenal iaitu penyanyi senior, Datuk Khadijah Ibrahim dan bekas model dan pelakon terkenal, Zahnita.

Sebelum ini, Soma pernah muncul dengan album solo iaitu Perjalanan yang memuatkan lima buah lagu Memori Bulan Disember, Bebaskan Aku, Curahan, Dugaan dan Perjalanan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok