PELAKON dan peragawati, Alicia Amin mengakui tidak lagi berminat untuk menjual Rendang Tok air tangannya selepas terpalit fitnah beberapa tahun lalu.
Menurut Alicia atau nama lengkapnya Raja Alicia Raja Amin, 30, insiden itu membuatkan dia hilang minat untuk berniaga.
Saya dah malas kena fitnah dengan orang pasal makanan. Sudahlah nak masak Rendang Tok ambil masa agak lama. Saya stres.
“Saya jual Rendang Tok ketika pandemik COVID-19. Saya cari duit sebab ketika itu ramai yang hilang pendapatan.
“Saya tak mampu untuk hadap fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada saya. Biarlah saya masak untuk keluarga sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online.
Alicia merupakan satu-satunya waris dalam keluarganya yang mewarisi resepi Rendang Tok tersebut daripada arwah neneknya.
“Semuanya bermula sewaktu saya belajar di Australia dulu. Saya teringin nak makan dan saya masak sendiri.
Biarpun tidak seratus peratus sama dengan air tangan arwah nenek, tetapi kata ayah, rasa Rendang Tok saya yang hampir serupa,” kongsinya.
Sebelum ini Alicia yang menjual Rendang Tok pada 2020 dikecam netizen kerana dikatakan tidak menitikberatkan soal kebersihan sewaktu memasak menu yang sinonim dengan sambutan lebaran itu.
Dia dituduh tidak mengambil suntikan Typhoid serta tidak memakai pakaian sesuai selain tidak memakai sarung tangan dan penutup rambut.
Namun Alicia menafikan dakwaan tersebut dan mendedahkan pernah mengambil suntikan Typhoid kerana pernah bekerja dalam sektor pengurusan makanan sebelum ini. – HIBGLAM