‘Sendirian, sedih pertama kali raya tanpa isteri di sisi’

SUNYI, sepi, kosong. Itu gambaran Syawal usahawan Datuk Seri Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red tahun ini apabila menyambut lebaran seorang diri tanpa keluarga di sisi.

Mengakui tidak membuat sebarang persiapan, Red, 47, hanya memilih untuk menyendiri dalam bilik kecilnya tanpa juadah raya mahupun kemeriahan Aidilfitri.

“Raya memang saya keseorangan. Memang sedih sebab pertama kali raya tanpa isteri di sisi.

“Bilik saya pun kecil, jadi memang tak ada persiapan. Tak ada rendang, tak ada ketupat, tak ada apa.

“Lepas solat sunat Aidilfitri, saya cuma pergi lawat kubur. Habis situ, mungkin saya buat siaran langsung untuk berniaga,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ditanya mengenai anak-anak pula, Adnan berkata kesemuanya beraya di Sabah bersama bekas isteri, penyanyi Adira Suhaimi.

“Anak-anak dengan Adira, yang saya tahu mereka balik kampung. Balik Sabah.

“Tipulah kalau tak sayu tapi reda sahajalah, asalkan anak-anak gembira,” ujarnya.

Untuk rekod, Red dan Adira mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum berpisah pada 24 April tahun lalu.

Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3.

Sebelum ini, perkahwinan Red dengan isteri pertama, Datin Seri Sharifah Norshafil Hassim turut berakhir dengan penceraian pada 13 Mei tahun lalu dan mereka memiliki lima orang anak.

Usahawan itu juga pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun, namun perkahwinan tersebut berakhir selepas lima tahun dengan dua cahaya mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok