SELEPAS empat bulan berlangsungnya siri kedua naik turun mahkamah, pasangan pelakon Diana Dianelle dan Farid Kamil sah bercerai lagi pada Isnin lalu.
Tanpa drama pujuk rayu, bawa cincin ke mahkamah dan tawaran aset seperti kereta mewah, barang kemas dan nafkah seperti pada perceraian kali pertama (2023), Farid akhirnya reda berpisah secara baik dengan Diana selepas 12 tahun bersama.
Jika sebelum ini Diana kelihatan berkeras mahu bercerai dan Farid pula ingin mempertahankan rumah tangga kelihatan tidak sehaluan, sebaliknya berlaku pada hari perceraian kali kedua.
Meskipun bukan lagi suami isteri, kedua-duanya mampu tersenyum, malah turut melakonkan semula aksi bersalaman di dalam mahkamah untuk rakaman pihak media.

MESKI sudah tiada lagi ikatan, Farid dan Diana sepakat untuk bersahabat demi kebaikan dua anak mereka.
Hubungan yang keruh selama ini juga semakin jernih apabila kedua-duanya berjanji untuk membina persahabatan demi kesejahteraan kedua-dua anak mereka, Muhammad, 12 dan Nur Aurora, 10.
“Alhamdulillah, sekarang kami boleh fokus kepada anak-anak dan bina jalinan persahabatan lebih baik.
Apa yang penting, kebaikan untuk anak-anak. Tiada apa sangat untuk diperkatakan kerana kerana semuanya sudah selesai. Terima kasih kepada Farid,” kata Diana.
Imej suami mithali tercalar
Selesai kisah perceraian epik Farid, Diana, apa yang mengejutkan ramai adalah kehadiran isteri kepada pelakon Edika Yusof, Nor Hidayah Yusri di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada hari sama.
Mengakui sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya pada Februari, kata Hidayah keputusan tersebut dibuat atas alasan tiada lagi persefahaman.
Bahkan Hidayah juga mengakui mereka tidak lagi tinggal sebumbung dengan bintang filem Pelumba Malam itu.
Penyebaran kemelut rumah tangga Edika dan isterinya ternyata mengejutkan ramai memandangkan selama ini, lelaki kacak itu dianggap sebagai ikon suami setia tanpa secalit kontroversi.

IMEJ Edika sebagai ‘suami dari syurga’ tercalar apabila isterinya, Hidayah bertindak memfailkan perceraian.
Sudahlah kacak, Edika juga setia menjaga isterinya yang lumpuh sejak hampir 20 tahun lalu. Hidayah lumpuh separuh badan kerana mengalami meningitis lima hari selepas melahirkan anak kedua mereka.
Bahkan Edika sebelum ini menegaskan dia menolak permintaan isteri yang mahu dia berkahwin lain.
Atas alasan itulah, Edika ‘dinobatkan’ sebagai suami mithali oleh khalayak.
Imej Edika umpama ‘suami dari syurga’ turut tercalar, bahkan ramai tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku antara mereka.
Dalam satu kenyataan kepada Kosmo! Edika menegaskan tiada apa yang serius dan buat masa ini dia dan isteri dalam perbincangan berkenaan kemelut rumah tangga mereka.
“Kami cuba berbincang dahulu, mungkin tidak sekufu dari pihak dia. Terima kasih,” kata Edika ringkas.
Semoga dalam tempoh beberapa hari menjelang Aidilfitri, ada cahaya keberkatan dan penamat yang baik-baik buat mereka. – HIBGLAM