PENYANYI Alyph mengakui pernah berasa ‘kerdil’ ketika belum berpeluang menghasilkan album solo pertama meski hampir dua dekad di arena muzik.
Alyph atau nama sebenarnya Alif Abdullah, 36, berkata, komitmen sebagai produser selain mendahulukan projek duo mengakibatkan buah tangan sulung selepas bergerak sendirian hanya dapat direalisasikan awal 2025.
“Sebelum ini dah hasilkan banyak single tetapi kemudian saya terbabit dalam album bersama SonaOne, Detail. Pada masa sama jadi produser untuk album Kaka Azraff, Andi Bernadee dan Elizabeth Tan.
Ada juga terfikir nak buat album kerana sudah banyak single. Segan juga, rasa macam kecil selepas lihat ramai rakan seperjuangan lain sudah mempunyai album.
“Itu pun saya sedar ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi lahirlah The Storm yang dilancarkan pada Januari lalu,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Alyph dan HotFM, baru-baru ini.
Memuatkan 12 lagu, antara seleksi yang meraih perhatian adalah kolaborasi bersama penghibur senior, Ziana Zain menerusi lagu Gerak dan Teman.
Mengakui ikhlas berkarya, penyanyi asal Singapura itu juga berpegang kepada prinsip tidak mencipta sesuatu lagu demi mengejar populariti semata-mata.
Katanya, seperti ketika menghasilkan Swipe yang pernah menjadi fenomena, semua gubahannya lahir dari hati.
Itu adalah mentaliti saya daripada mula berkarya. Swipe tidak dibuat untuk menjadi fenomena. Saya tidak pernah ada mentaliti dan pemikiran sebegitu.
“Saya rasa jika mengejar populariti atau fenomena, bermakna saya tidak menghormati kerjaya seni saya sendiri,” ujarnya.
Mengenai kempen promosi album yang digandakan menjelang musim perayaan, bagi Alyph setiap seleksi dalam The Storm mempunya keistimewaan yang wajar dikongsikan dengan khalayak.
Pada masa sama, komposer terbabit memaklumkan strategi pemasaran yang tepat antara faktor kejayaan setiap lagu dihasilkan.
Terdahulu, Alyph mula dikenali menerusi duo Sleeq bersama sepupunya Syarif, namun mereka memilih haluan sendiri pada 2015 – HIBGLAM