Sedih, raya dah dekat – Kereta Faye dihempap bumbung balkoni kondo

DUGAAN menjelang Syawal, pelakon Faye Kusairi mendedahkan kereta jenis Proton Ezora miliknya rosak teruk akibat dihempap bumbung balkoni kondominium kediamannya.

Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 38, berkata, insiden konkrit berat dan kayu jatuh yang berlaku pada petang semalam turut membabitkan kenderaan milik jirannya.

Sekitar pukul 4 petang (Rabu), salah satu bumbung balkoni dari tingkat tiga bangunan kondominium kami ini roboh (besar kemungkinan kayu bumbung itu reput atau sudah lama).

“Jadi semua jenis konkrit berat dan kayu jatuh pada kereta saya dan juga jiran yang lain,” katanya dalam perkongsian Instagram.

Dalam hantaran tersebut, Faye turut menunjukkan gambar lokasi kejadian yang memperlihatkan cermin hadapan pecah teruk.

Reda berdepan ujian, isteri kepada pengarah Azmi Hatta itu tidak mampu menyembunyikan perasaan sedih memandangkan kereta itu menjadi nadi buat keluarganya.

Apatah lagi katanya buat masa ini ekonomi keluarga mereka kurang baik berikutan jualan nasi ayam kurang memberangsangkan.

“Saya ini sedihlah, mana lagi dah dekat raya, perlu pakai duit yang banyak. Kita ini nak berlakon lambat lagi nak masuk set baharu.

Berniaga pun sendu pada musim Ramadan ini. Yelah Nasi Ayam ini bukan sejenis makanan pada waktu malam, lebih sesuai makan tengah hari.

“Nak balik kampung nak berjalan itu semualah. Sedih tapi aku reda,” ujarnya.

Pada masa sama, Faye meminta orang ramai tidak membuat sebarang tuduhan apabila mendakwa dia membuat pinjaman dengan along yang mencetuskan perbuatan khianat.

“Usahlah yang mana kata hutang along ke, orang khianat ke, atau apa-apa yang negatif.

Sudah-sudahlah. Aku ini manusia jenis lambat lagi kacau orang ke, buat onar ke buat jahat.

“Aku ini betul-betul buat hal aku sendiri je. Itulah orang kata aku ini membosankan,” katanya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen berharap pelakon drama Terjerat itu bersabar menghadapi ujian selain mendoakan urusannya sekeluarga dilancarkan.

“Moga-moga Allah gantikan dengan perkara yang lebih baik,” kata seorang pengikutnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok