MENYERTAI program mengaji di sebuah stesen televisyen, pelakon Fatiya Latiff meraih pujian apabila bacaan al-Qurannya disifatkan hampir sempurna.
Fatiya atau nama sebenarnya, Nur Fathia Abdul Latiff, 38, berkata, keputusan untuk menyertai rancangan tersebut sebagai mengambil keberkatan 10 malam terakhir Ramadan.
“Saya rasa bulan Ramadan ini lebih baik ikuti program sebegini sebab dapat lebih menenangkan hati.
“Lebih berkat kalau buat program sebegini lagi-lagi dah 10 malam terakhir Ramadan,” katanya menerusi media sosial.
Menerusi program Geng Ngaji itu, Fatiya yang bertelekung putih membacakan surah Saba melalui panggilan video.
Susulan bacaan pelakon drama Dia Isteri Luar Biasa itu yang baik, dia mendapat pujian panel hos rancangan tersebut.
Sebutan Fatiya okey, not bad. Hanya ada sedikit-sedikit sahaja kekurangannya,” ulas pengendali program.
Pada sesi perkongsian selepas itu, Fatiya turut menzahirkan perasaan sayu kerana Ramadan bakal melabuhkan tirai.
“Sebenarnya akhir Ramadan ini, saya rasa sebak dan sayu sebab bulan mulia dah nak habis tanpa kita sedari.
Tapi saya mengharapkan kita dapat jumpa bulan Ramadan pada tahun hadapan dan sama-sama ambil iktibar daripada pengajian-pengajian yang pernah kita ikut,” katanya.
Terdahulu, nama aktres sensasi tersebut kerap terpalit kontroversi namun seiring peralihan masa Fatiya dilihat berubah ke arah menjadi muslimah lebih baik. – HIBGLAM