PELAKON Diana Danielle berharap kemelut rumah tangga bersama suaminya, Farid Kamil menemui titik noktah hari ini selepas beberapa kali berulang-alik ke mahkamah bagi menyelesaikan permohonan perceraiannya.
Ujar Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, dia sudah penat malah tekadnya cuma satu iaitu dilepaskan secara baik.
Cepatlah selesai, banyak kali dah turun naik mahkamah, Benda yang sama juga.
“Akhirnya saya tetap mahu dilepaskan, harap dia memahami la ya,” katanya kepada HibGlam ketika tiba di pekarangan
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosiding perceraian dan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP), di sini, hari ini.
Pelakon filem Imaginur itu hadir di mahkamah pada pukul 9.25 berjubah dan berselendang merah jambu dengan ditemani peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader.
Sementara itu, Farid yang hadir 10 minit kemudian bersama peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan, memilih untuk berdiam diri tanpa sebarang kenyataan kepada media.
Pada 16 Disember, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan memerintahkan pasangan Farid dan Diana melantik wakil JKP.
Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin memerintahkan demikian susulan keengganan Farid melafazkan cerai terhadap Diana pada prosiding kes permohonan perceraian mereka.
Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.
Farid dan Diana yang mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 12, serta Nur Aurora, 10. – HIBGLAM