DIANGGAP hidup mewah, penyanyi Cik B mengakui sudah tidak menerima duit raya mahupun apa-apa barangan seperti remaja lain.
Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 20, sebenarnya terbuka menerima duit raya tanpa mengira berapa jumlahnya.
“Selalunya saya tidak akan dapat duit raya atau apa-apa hadiah sebab orang takut nak bagi.
Mereka takut tak cukup, padahal saya terima sahaja dan tak kisah berapa amaun duit tersebut.
“Asalkan pemberian tersebut ikhlas dan saya dapat rasa momen salam tangan, cium tangan dan dapat sampul raya,” katanya kepada HibGlam.
Berkongsi lanjut, anak kepada usahawan terkenal Datuk Seri Vida itu teruja pernah menerima duit raya daripada rakyat Brunei semasa bersahur pada hari pertama Ramadan.
“Saya pernah pergi Brunei, semasa tengah bersahur ada orang bagi saya duit raya walaupun ketika itu hari pertama berpuasa.
Saya tengah makan, mereka datang bagi 10 sehingga 20 dollar Brunei (RM33-RM66) kira banyaklah juga.
“Terima kasih sebab orang masih ingat nak beri saya duit raya,” jelasnya.
Sebelum ini, Cik B pernah mendedahkan tidak dapat duit raya daripada saudara maranya disebabkan kekayaan dimiliki ibunya. – HIBGLAM

CIK B tidak pandang kecil atau besar jumlah duit raya asalkan pemberian itu ikhlas pasti diterima dengan rasa syukur.