MELANCARKAN lagu raya berjudul Sempoi Raya pada pertengahan Ramadan, penyanyi Naqiu mahu pendengar lebih menikmati suasana Ramadan sebelum merayakan Syawal.
Bagaimanapun, Naqiu atau nama lengkapnya atau Wan Naqiuddin Mohd Najib, 38, tidak menyalahkan pihak yang mempromosikan lagu raya pada awal bulan puasa.
“Saya ini berada di tengah-tengah dalam mengikut peredaran zaman mengeluarkan lagu raya. Cara saya lebih ‘old school’ di mana terbitkan lagu raya dua minggu selepas berpuasa sebab nak beri orang rasa dahulu aura Ramadan.
Kalau nak diikutkan, saya nak buat lagu ketuhanan di bulan Ramadan, kemudian lagu raya di bulan Syawal.
“Tapi tahun ini saya sempat buat satu lagu sahaja dan terbitkan di pertengahan bulan sebab tidak mahu kacau ‘vibes’ puasa.
“Bagaimanapun, saya tidak salahkan kalau ada yang mahu terbitkan lagu raya lebih awal. Terpulang kepada strategi pemasaran masing-masing,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Berkongsi mengenai Sempoi Raya, Naqiu memaklumkan, karya ciptaan bersama John Jeeves, Darien Sebastian dan Shazriq Azeman itu siap rakaman sebelum mula berpuasa.
“Sempoi ini bahasa pasar untuk santai. Sangat kena dengan orang seperti saya yang jenis santai.
“Saya tahu tahun ini banyak lagu raya, sebenarnya waktu rakaman pun kita ada rasa ragu tidak sempat siapkan lagu. Banyak perkara buatkan kami takut juga nak terbitkan lagu.
Namun, sebab lagu semua sudah siap, video muzik pun sudah tersedia. Jadi kami teruskan sahaja. Lagu ini ‘pergi’ atau tidak, semua itu belakang cerita,” kongsinya.
Dalam masa sama, pelantun lagu Episod Cinta itu memberitahu punca utama melancarkan lagu raya supaya dapat menyanyikan karya sendiri sepanjang Syawal kelak.
Ini lagu raya pertama saya. Saya cuma mahu terbitkan sahaja agar peminat tahu saya sudah ada lagu raya pertama.
“Selain itu, sejak saya ‘come back’ (kemunculan semula) saya asyik nyanyi lagu orang. Sudah masanya saya nyanyikan dan alang-alang mempromosikan lagu raya sendiri setiap kali terima undangan persembahan hari raya,” jelasnya. – HIBGLAM