‘Saya dan Vanidah tak bersentuhan, itu janggut palsu’

Menerima pelbagai reaksi berhubung babak panas menyentuh janggut dalam drama Bidaah, pelakon Faizal Hussein menegaskan tiada sentuhan yang berlaku antaranya dan aktres Vanidah Imran.

Malah Faizal, 58, percaya babak tersebut mempunyai mesej tersendiri bagi menyampaikan realiti kehidupan semasa.

“Babak kaki Vanidah sentuh janggut saya, kami sebenarnya tak bersentuhan pun kerana itu adalah janggut palsu dan untuk babak intim pula pengarah banyak bermain dengan kaedah artistik.

“Bagi babak orang cium kaki serta minum air basuhan kaki Abuya lebih kepada teknik helah kamera. Saya menghormati Erma sebagai penulis dan apa yang ditunjukkan adalah diangkat dari kisah besar.

“Tak perlulah saya nak bercakap lebih lanjut. Dalam drama yang memaparkan kisah ajaran sesat di Malaysia, inilah paling dekat dengan realiti sebab babak-babak yang diketengahkan memang berdasarkan kisah benar,” katanya kepada HibGlam ketika Tayangan Perdana Program Raya Astro 2025 baru-baru ini.

Meski teruk dikecam menggalas watak ketua ajaran sesat iaitu Abuya, pelakon drama One Cent Thief itu enggan ambil pusing kerana sebagai pelakon dia melunaskan amanah yang diberikan pengarah.

“Memang drama itu tengah tular sekarang. Telefon saya tidak henti-henti menerima notifikasi tetapi saya tak pernah anggap sebagai satu tekanan pun.

“Sebelum buat kerja lagi saya dah boleh tahu pasti akan jadi seperti ini (tular). Lebih-lebih lagi membabitkan babak saya dan Vanidah Imran lakonkan.

“Memang akan tular tetapi ke arah yang sihat. Anak-anak tidak tertekan dan tak peduli pun, mereka dah faham,” ujarnya.

Sebelum ini Faizal pernah menjayakan watak negatif tetapi kurang berhasil disebabkan imejnya yang bersih.

“Pernah juga saya lakonkan watak seorang pelumba dalam filem KL Wayangan. Sebelum berlakon saya minta kebenaran pengarah (Pekin Ibrahim) untuk menjadikan watak saya itu seorang yang sentiasa mabuk.

“Watak Rudy memang mabuk sepanjang masa, saya nak tunjuk keburukan dalam dunia perlumbaan. Memandangkan itu idea saya, saya sudah bersedia untuk dikecam.

“Orang tak hairan pun. Maknanya orang anggap Faizal Hussein tunjuk apa pun mereka tahu saya okey, tak ada kontroversi.

“Bukan soal saya ‘untouchable’ (tidak boleh disentuh). Watak yang ditonjolkan itu hanya lakonan,” katanya lagi.

Terdahulu, tular dalam media sosial adegan Vanidah sebagai Ummi Rabiatul menyentuh janggut Faizal menggunakan kakinya yang menjadi perdebatan ramai dalam media sosial.

Drama Bidaah mula ditayangkan menerusi platform penstriman Viu Malaysia pada 6 Mac lalu dan diarahkan oleh Pali Yahya dan diterbitkan oleh produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.

Drama berkenaan berkisarkan kehidupan pengamal ajaran sesat, Walid yang telah tersebar di sebuah perkampungan. Walid dengan beraninya mengaku bahawa dirinya merupakan jelmaan Iman Mahdi kepada para pengikutnya. – HIBGLAM

@hibglam.com.my Menerima pelbagai reaksi berhubung babak panas menyentuh janggut dalam drama Bidaah, pelakon Faizal Hussein menegaskan tiada sentuhan yang berlaku antaranya dan aktres Vanidah Imran. #bidaah #faizalhussein #vanidahimran #babak #sentuh #pelakon #hibglam ♬ original sound – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok